DELEGASI dan warrtawan Timor-Leste sebak sebaik sahaja negara itu diumumkan secara rasmi sebagai negara anggota ASEAN ke-11 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hari ini.

KUALA LUMPUR – Pengisytiharan secara rasmi Timor-Leste sebagai negara ke-11 ASEAN disambut dengan linangan air mata oleh delegasi dan wartawan dari negara itu.

Malah, mereka turut bersorak kegembiraan ketika menyaksikan detik-detik bersejarah itu yang disiarkan secara langsung di pusat media Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Emosi bercampur-baur dan reaksi mereka itu menarik perhatian wartawan dan delegasi dari negara lain di pusat media yang mengucapkan tahniah serta selamat datang kepada Timor-Leste sebagai keluarga baharu ASEAN.

Sementara itu, seorang delegasi, Francisca Maia berkata, penerimaan Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN menamatkan penantian panjang negara itu untuk menjadi sebahagian keluarga ASEAN.

“Ini merupakan saat yang sangat penting buat negara kami kerana akhirnya kami diterima sebagai negara anggota ASEAN.

“Pengiktirafan ini bakal membuka lebih banyak peluang untuk Timor-Leste berkembang maju dalam pelbagai bidang seiring dengan negara-negara anggota ASEAN lain,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/10/26/lebih-sedekad-rakyat-timor-leste-tunggu-detik-ini-kay-rala/

Terdahulu, Timor-Leste secara rasmi diisytiharkan sebagai negara anggota ASEAN ke-11 pada majlis pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang membuka tirai hari ini.

Dokumen penyertaan Timor-Leste sebagai negara ASEAN itu ditandatangani Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão dengan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Timor-Leste memohon menyertai keanggotaan ASEAN pada 2011 iaitu selepas mencapai kemerdekaan pada 2002.

Bagaimanapun, proses keanggotaan itu memerlukan waktu yang panjang berikutan beberapa faktor termasuk kesediaan ekonomi selain keputusan untuk menerima ahli baharu ke dalam ASEAN perlu dicapai secara konsensus oleh semua negara anggota sedia ada.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 di Phnom Penh, Kemboja, pada November 2022, pemimpin ASEAN pada dasarnya bersetuju untuk menerima Timor-Leste sebagai ahli ke-11 ASEAN.

Persetujuan itu juga memberikan status pemerhati kepada Timor-Leste dan menggariskan pelan tindakan untuk keahlian penuh, termasuk sokongan kapasiti. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast