KUALA LUMPUR – Pelakon popular, Fattah Amin menitipkan ucapan penuh bermakna sempena ulang tahun kelahiran isterinya, penyanyi dan pelakon, Amira Othman.
Menerusi hantaran di Instagram, Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, mendoakan agar Amira terus tabah dan kuat dalam melayari bahtera perkahwinan mereka yang baharu dibina.
“Selamat hari lahir isteri syurgaku, Nadia Amira binti Othman. Semoga di hari kelahiran tahun serba baru, bersama mahligai baru kita ini membuatkan dirimu terus kuat menempuh hari hujan dan panas, serta tidak tahu panjang atau pendek perjalanannya,” tulisnya.
Pelakon filem Manisnya Cinta Di Cappadoccia itu turut menitipkan doa agar isterinya sentiasa berada dalam rahmat serta perlindungan Allah SWT.
“Tapi suamimu ini akan sentiasa mendoakan yang baik-baik sahaja buat dirimu berada di bawah perlindungan-Nya.
“Diberkati hidupmu, diberi kesihatan yang baik, dilimpahkan rezeki oleh-Nya dan sentiasa menjadi manusia yang menjadi inspirasi untuk semua orang yang melihatmu. Saya sayangkan awak kerana Allah dan Allah tahu saya menyayangimu,” tambahnya.
Pasangan selebriti itu sebelum ini selamat diijabkabulkan pada 14 September lalu dalam satu majlis akad nikah yang diadakan di Sepang, Selangor.
Majlis akad nikah mereka disempurnakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, dan Fattah sah bergelar suami kepada Amira dengan sekali lafaz. – MalaysiaGazette















