KUALA LUMPUR – Hujahan lisan pasukan pembelaan dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Razak bersambung di Mahkamah Tinggi, esok.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang bersidang di Putrajaya dijadual mendengar penghujahan minggu kedua selama lima hari berturut-turut hingga Jumaat ini (31 Oktober).
Pasukan pembelaan yang telah memfailkan tujuh jilid penghujahan bertulis, memulakan hujahan lisan pada 21 Oktober lalu dimulai dengan kata-kata aluan yang dibacakan sendiri oleh Najib dari kandang tertuduh.
Bekas Perdana Menteri antara lain menyifatkan beliau sesatunya `ahli politik’ atau `pengubah wang haram dalam sejarah’ yang memulangkan semula wang suapan AS$620 juta kepada akaun asal selepas mendapat kelulusan rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) dengan menulis surat kepada Gabenor BNM ketika itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bagi memaklumkan perkara tersebut.
Najib turut menyatakan, beliau tidak pernah menuntut sebarang bentuk kekebalan, sebaliknya hanya mahukan kesaksamaan dan hak dilindungi di bawah undang-undang, sama seperti individu lain yang dibicarakan atas pertuduhan jenayah.
Beliau selanjutnya menyatakan, derma daripada Kerajaan Arab Saudi yang menjadi pertikaian dalam perbicaraan penyelewengan dana 1MDB, bukan kisah dongeng.
Sebaliknya beliau menegaskan, rekod-rekod SWIFT yang diperoleh oleh pihak berkuasa jelas menunjukkan pemindahan wang ke dalam akaun Ambank beliau dibuat oleh Kementerian Kewangan Riyadh dan diproses oleh Saudi Arabian Monetary Authority (SAMA), iaitu bank pusat Kerajaan Arab Saudi.
“Derma tersebut telah dibelanjakan, ia telah dimanfaatkan bagi tujuan politik serta kebajikan masyarakat secara khusus. Segala perbelanjaan telah dibuat melalui cek, dengan setiap sen perbelanjaan direkodkan,” ujarnya.
Najib juga berkata, beliau tidak seharusnya didakwa terhadap penyelewengan dana 1MDB, sebaliknya pegawai-pegawai syarikat yang harus memikul tanggungjawab.
Ujarnya, mereka bukan sahaja mengingkari arahan Lembaga Pengarah 1MDB, malah membuat keputusan tanpa kelulusan, melaksanakan pembayaran tidak sah berjumlah berbilion-bilion, serta menerima imbuhan wang haram. Antaranya, dana berjumlah AS$1.6 bilion secara ironinya telah diselewengkan oleh Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB sendiri, Azmi Tahir.
Pasukan pembelaan ketika mengemukakan hujahan lisan pula menegaskan, Najib tidak pernah menjejakkan kaki ke AmIslamic Bank di ibu negara bagi mengaitkan beliau dengan empat pertuduhan salah guna kuasa dana 1MDB.
Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berhujah, pihak pendakwaan tidak mengemukakan bukti bahawa bekas Perdana Menteri mengunjungi bank berkenaan atau menggunakan pengaruhnya di bank tersebut.
“Mana buktinya bahawa beliau pernah berada di AmIslamic Bank Jalan Raja Chulan untuk menyalahgunakan kedudukan rasmi yang membolehkan mahkamah mensabitkannya atas pertuduhan itu?
“Kami menghujahkan pertuduhan yang dikemukakan terhadap Najib adalah cacat, mengandungi pendua (duplicate) tersembunyi dan tetap diteruskan meskipun ia kabur dan mengelirukan,” hujahnya.
Pada prosiding minggu lalu, pasukan pembelaan antara lain menghujahkan, mahkamah tidak sepatutnya menerima keterangan saksi pendakwaan, Jasmine Loo Ai Swan yang disifatkan sebagai individu yang tidak boleh dipercayai.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah, isu kritikal yang dibangkitkan ialah mengenai kaitan bekas peguam 1MDB itu dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Hujah beliau, Jasmine Loo dalam keterangannya mengaku beliau beberapa kali melarikan diri ke negara-negara termasuk China selain Jho Low membantunya membolosinya Myanmar secara haram tanpa pasportnya dicop.
Bekas Perdana Menteri sedang dibicarakan atas empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Mengikut pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama. – MalaysiaGazette
















