Beberapa penjaja tanpa lesen dikenakan tindakan sitaan selepas dikesan menjalankan perniagaan di kawasan luar perkarangan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semasa penganjuran acara MotoGP 2025, Sabtu lalu. Ihsan Foto : MP Sepang

KUALA LUMPUR – Beberapa penjaja tanpa lesen dikenakan tindakan sitaan selepas dikesan menjalankan perniagaan di kawasan luar perkarangan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semasa penganjuran acara MotoGP 2025, Sabtu lalu.

Operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan oleh Unit Penjaja Zon Tengah, Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang).

Menurut MP Sepang, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada aktiviti penjajaan dan perniagaan tanpa lesen atau permit sah yang dijalankan di luar kawasan dibenarkan sempena acara berprestij tersebut.

“Tujuan utama operasi adalah untuk mengawal aktiviti penjaja tidak berlesen selain memastikan kelancaran dan keselesaan pengunjung serta menjaga hak peniaga sah yang berdaftar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, tindakan sitaan sepenuhnya telah diambil terhadap penjaja dan peniaga yang ingkar menjalankan perniagaan tanpa permit sah di kawasan berkenaan.

MP Sepang memaklumkan, tindakan itu dibuat mengikut Peruntukan 3, Undang-Undang Kecil Penjaja (Majlis Perbandaran Sepang) 2007 kerana menjalankan aktiviti menjaja tanpa lesen.

“MP Sepang menasihatkan semua penjaja agar tidak berniaga tanpa permit sah bagi mengelakkan tindakan sitaan atau kompaun,” jelas kenyataan itu.

Pihak berkuasa tempatan itu turut menegaskan akan terus mempergiat operasi seumpama itu dari semasa ke semasa bagi memastikan peraturan dipatuhi dan imej daerah Sepang kekal terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast