Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sempat berjoget dengan penari kebudayaan sebaik tiba sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, ditemani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Bunga Raya, KLIA. Foto MALAYSIAGETTE, 26 OKTOBER 2025.

Oleh: Ismail Hashim Yahaya

APABILA Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menari sejurus mendarat dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambutnya dengan senyuman serta langkah kecil yang tenang, dunia maya segera bergema. Klip singkat itu menyebar tanpa sempadan yang menjadi bahan tular, parodi dan renungan antarabangsa. Namun bagi yang membaca politik bukan sekadar pada kata-kata tetapi pada tanda dan isyarat, peristiwa kecil ini membuka lapisan makna yang lebih dalam.

Ia bukan sekadar detik mesra dua pemimpin bahkan satu pentas semiotik atau tanda yang mempertemukan dua dunia makna: kuasa yang menunjuk dengan gaya dan kuasa yang membaca dengan hikmah. Dalam kerangka semiotik politik, tubuh pemimpin bukan lagi entiti neutral; ia adalah teks yang bergerak di mana makna kuasa dan identiti negara dilakonkan di hadapan khalayak sejagat.

Setiap senyuman, gerak tangan, dan jarak fizikal membawa mesej tersirat. Ketika Trump menari dengan gaya spontan dan percaya diri, beliau sedang menegaskan bentuk kuasa yang lahir daripada politik tontonan iaiatu kuasa yang menjadikan perhatian khalayak sebagai legitimasi dan hiburan sebagai strategi politik.

Dalam logik populisme, hiburan menjadi cara mendekatkan kuasa dengan rakyat; gaya menggantikan isi, tawa menggantikan hujah. Namun pada saat sama, Anwar memilih bahasa tubuh yang lain. Beliau tidak menolak tetapi tidak meniru. Tidak menari mengikut gaya Trump sebaliknya mengalunkan rentak kecil yang sekadar menyambut suasana.

Di situlah budi bahasa kuasa Timur terserlah — seni menyambut tanpa tunduk, keanggunan yang menolak dengan kelembutan. Ia adalah strategi makna yang menunjukkan bahawa diplomasi tidak perlu keras untuk tegas, dan tidak perlu lantang untuk berpengaruh.

Dalam satu langkah kecil, Anwar menampilkan kuasa yang tersenyum tanpa kehilangan wibawa. Pertemuan dua tubuh ini di ruang kecil namun disaksikan berjuta mata memperlihatkan dua logik politik dunia. Trump menandai politik gaya teater — theatre of spectacle atau teater tontonan — di mana kuasa diukur melalui imej bukan makna.

Ia bentuk politik hiperrealiti (melampaui realiti jika di media sosial) yang beroperasi dalam dunia di mana tanda terpisah daripada hakikat dan hanya hidup untuk dipertontonkan. Sebaliknya, Anwar mewakili bentuk kuasa tafsir iaitu kuasa yang membaca, memahami dan menstruktur makna. Ia bukan kuasa untuk dilihat tetapi untuk difahami.

Dalam semiotik Timur keheningan adalah ucapan dan kesantunan adalah bentuk ketegasan yang paling tinggi. Makna peristiwa itu tidak berhenti di landasan kapal terbang. Dalam dunia kontemporari makna sejati lahir bukan daripada aksi asal, tetapi daripada bagaimana ia diterjemahkan dalam ruang digital.

Apabila rakaman tarian itu menjadi viral, ia segera keluar daripada kawalan kedua-dua tokoh. Dunia maya mengambil alih iaitu mengedit, mengulas, meniru dan menjenakakan. Dalam logik komunikasi moden, viraliti ialah pentas baharu bagi kuasa, di mana reputasi dan citra ditentukan oleh tafsiran berjuta pengguna bukan niat asal pelaku.

Kuasa bukan lagi milik mereka yang bertindak tetapi mereka yang mampu mengawal tafsir terhadap tindakan itu. Trump menari untuk dilihat; Anwar menari untuk difahami. Satu mempersembahkan tubuh sebagai hiburan, satu lagi menjadikan tubuh sebagai tafsir.

Dalam ruang digital yang bising, dua bentuk kuasa ini beradu. Namun menariknya, di tengah gelombang jenaka dan suntingan lucu, imej Anwar tidak tenggelam. Ia malah diperkuatkan oleh reaksi pelbagai lapisan penonton: ada yang melihatnya sebagai simbol diplomasi matang, ada yang membaca sebagai lambang keakraban dan ada yang menafsirkannya sebagai kesantunan budaya Malaysia di pentas global. Di sinilah kekuatan semiotik Anwar terserlah iaitu keupayaan menukar momen rawak menjadi naratif kepimpinan berasaskan nilai.

Dalam dunia politik yang semakin dikawal algoritma dan persepsi, kemampuan memaknai detik menjadi aset strategik. Politik hari ini bukan lagi sekadar dasar dan ucapan, tetapi tentang bagaimana imej, tubuh, dan gerak ditafsir oleh khalayak. Dalam dunia yang dikawal kamera dan media sosial setiap detik adalah pentas, dan setiap pemimpin ialah teks terbuka yang sentiasa dibaca.

Peristiwa itu juga memperlihatkan kelebihan Malaysia dalam geopolitik simbolik. Ia menonjolkan imej negara bukan sebagai kuasa kecil yang pasif, tetapi sebagai pemain yang arif mengemudi makna antara kuasa besar. Dalam langkah kecil itu Anwar memperlihatkan neutraliti bukan tanda ketakutan tetapi strategi kebijaksanaan. Dalam dunia yang sarat polarisasi, Malaysia sebagai penafsir kuasa yang memahami bahasa simbolik dan diplomasi lembut.

Ini bentuk soft power yang berakar pada sejarah dan peradaban, bukan kekuatan tentera atau ekonomi. Tarian itu walaupun tampak ringan sebenarnya memperlihatkan dunia yang kini bergerak di bawah logik baharu iaitu logik persepsi. Politik telah menjadi estetika, diplomasi menjadi seni tafsir. Tindakan kecil boleh mencipta makna besar dan langkah sederhana boleh membentuk wacana global.

Dalam konteks ini tindakan Anwar bukan kebetulan, tetapi tanda kepada jenis kepimpinan yang sedang beliau bawa: kepimpinan yang menafsir lebih daripada menunjuk, membaca lebih daripada bersuara. Ia menandakan peralihan cara dunia melihat kuasa Timur yang bukan lagi sebagai pasif sebaliknya sebagai kuasa yang tahu menari di antara makna.

Akhirnya, momen ini mengajar kita sesuatu tentang kuasa dalam dunia hiperrealiti. Kuasa yang hidup hanya melalui tontonan akan lenyap sebaik tepukan berhenti; tetapi kuasa yang dibina atas makna akan bertahan melampaui gelombang viral. Trump menari untuk menegaskan kehadiran, Anwar menari untuk menegaskan makna. Satu berasaskan hiburan dan satu berasaskan kesedaran. Dalam dunia yang semakin haus akan makna tafsir sentiasa hidup lebih lama daripada sensasi.

Dalam dunia digital yang ditadbir algoritma dan citra, tindakan kecil boleh menjadi teks besar. Ia mengingatkan kuasa sebenar bukan lagi pada siapa yang menguasai ruang lebih jauh lagi kepada siapa yang mampu mengawal tafsir terhadap dirinya.

Dalam keributan sejagat yang hingar langkah kecil yang beradab dan senyuman yang seimbang menjadi bahasa baharu diplomasi. Pada akhirnya, politik bukan lagi sekadar seni memerintah, tetapi seni menari di hadapan dunia tanpa kehilangan makna diri.

Ismail Hashim Yahaya

 

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa dan mantan pensyarah Universiti Selangor

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast