SEPANG – Helikopter Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia digunakan untuk membawa Jose Antonio Rueda, penunggang Moto3 dari pasukan Red Bull KTM Ajo yang cedera ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.
Misi berkenaan dilaksanakan menggunakan helikopter AS-365 N3 Dauphin dikemudi oleh Leftenan Komander Maritim Mohd Akil Md Yussof, dibantu Leftenan Maritim Mohd Hairul Mohd Yassin serta kru pesawat, Bintara Muda Maritim Wan Ahmad Fahmi Wan Zakaria.
Maritim Malaysia berkata, misi itu turut membawa seorang doktor, paramedik dan pegawai pasukan yang mengiringi pesakit sepanjang penerbangan.
“Helikopter yang digerakkan daripada SIC pada jam 12.50 tengah hari itu telah selamat mendarat di HKL pada jam 1.10 petang dan proses pemindahan pesakit berjalan dengan lancar.
“Proses pemindahan pesakit berjalan lancar dengan kerjasama petugas kesihatan hospital sebelum pesawat kembali ke SIC bagi meneruskan penugasan di SIC sempena kejohanan MotoGP Malaysia 2025,” ujarnya.
Maritim Malaysia berkata, penglibatan aset udara Maritim Malaysia di dalam acara ini menunjukkan komitmen agensi terhadap kecemasan nasional yang turut memperkukuhkan imej negara dalam aspek keselamatan dan bantuan kemanusiaan di arena antarabangsa. – MalaysiaGazette















