BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang melupuskan sebanyak 81,049 unit barang kes bernilai kira-kira RM4.76 juta yang membabitkan pelbagai kesalahan penguatkuasaan di negeri ini sejak awal tahun.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, pelupusan itu melibatkan barangan yang telah selesai melalui proses pendakwaan dan pengkompaunan di bawah beberapa akta penguatkuasaan termasuk Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Cap Dagangan 2019 serta Akta Pelindungan Pengguna 1999.
“Antara barangan yang dilupuskan ialah pakaian, beg tangan dan aksesori wanita pelbagai jenama, alat ganti kenderaan, produk makanan, barangan penjagaan kesihatan, serta aksesori dan peranti elektronik tiruan.
“Pelupusan ini melibatkan jumlah keseluruhan 81,049 unit barang dengan nilai RM4,761,400.28 hasil pelbagai tindakan penguatkuasaan yang dijalankan antara Januari hingga Oktober tahun ini,” katanya pada sidang media Program Pelupusan Ekshibit Mega 2025 di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDN Negeri Pulau Pinang, Bukit Minyak di sini.
Menurut beliau, sepanjang tempoh 1 Januari hingga 30 Oktober lalu, pihaknya melaksanakan pemeriksaan terhadap 65,790 premis di seluruh negeri, membabitkan pelbagai kategori penguatkuasaan termasuk kawalan harga, barang kawalan, antipencatutan, hak harta intelek dan penipuan dalam talian.
“Daripada jumlah itu, katanya, 793 kes diambil tindakan dengan nilai rampasan keseluruhan RM3,051,106.21, manakala 625 kes dikenakan kompaun berjumlah RM439,000 dan dua kes dibawa ke mahkamah melibatkan denda RM16,000.
“Berdasarkan tindakan pengkompaunan dan pendakwaan yang selesai, sebanyak 167 kes melibatkan barang sitaan telah dilupus dan dilucuthak sebagai hasil kerajaan, dengan kutipan sementara sebanyak RM382,427.01.
“Ini turut termasuk hasil jualan sisa melalui tender atau sebut harga bernilai RM20,100, hasil jualan barang kawalan sebanyak RM1,734,041.05, serta pemusnahan barang kes bernilai RM2,624,832.22,” katanya.
Tambah Jegan, pelaksanaan pelupusan itu mencerminkan komitmen berterusan KPDN dalam memastikan penguatkuasaan undang-undang perdagangan domestik dijalankan secara tegas bagi melindungi hak pengguna dan memastikan pasaran kekal beretika. – MalaysiaGazette
















