Acara ini berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual berkenan menyertai “Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports” pada 5 Nov ini di Stadium Merdeka, di sini.

Acara dianjurkan agensi dalam perhubungan awam sukan dan penjenamaan, ShekhinahPR dengan kerjasama Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) itu akan menghimpunkan legenda sukan negara antaranya Datuk Santokh Singh (bola sepak), Datuk Rashid Sidek (badminton), Nor Saiful Zaini Nasiruddin (hoki), G. Shanti (olahraga) dan Datuk Leong Mun Yee (terjun).

Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR Datuk Christopher Raj dalam satu kenyataan hari ini berkata, objektif utama acara tersebut ialah meraikan warisan sukan negara dengan mengiktiraf jasa atlet yang telah membentuk sejarah Malaysia.

Beliau berkata, penganjuran program itu juga bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti berjalan kaki yang inklusif serta memperkukuh hubungan antara institusi diraja dan legenda sukan negara.

“Keberangkatan Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah ke acara ini menzahirkan pengiktirafan berterusan terhadap peranan sukan sebagai tonggak identiti, kebanggaan dan perpaduan negara.

“Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports” dijangka menjadi satu acara yang memperingati sejarah negara, semangat kesukanan dan perpaduan nasional, sekali gus mengingatkan kita bahawa langkah paling bermakna ialah langkah yang diambil bersama-sama,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast