Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mendapatkan injunksi Erinford terhadap Telegram Messenger Inc dan pentadbir dua saluran Telegram, bagi menghalang mereka daripada terus menerbit atau menyebarkan 33 artikel berunsur fitnah dan berbahaya sehingga rayuan di Mahkamah Rayuan diselesaikan.

Hakim Mahazan Mat Taib membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa kemudaratan terhadap defendan iaitu Telegram Messenger Inc serta pentadbir dua saluran Telegram, “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas”, adalah minimum berbanding kemudaratan serius yang boleh menjejaskan institusi negara, keyakinan awam, dan keharmonian masyarakat sekiranya kandungan berbahaya itu terus disebarkan.

“Mahkamah juga mengambil kira kepentingan awam dan keselamatan negara dalam membuat keputusan ini, dengan menyatakan bahawa kepentingan awam mesti mengatasi kepentingan individu apabila melibatkan isu keselamatan serta kestabilan negara.

“Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum dan agama yang berpegang kepada sistem Raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Semua pihak yang terlibat dalam proses kehakiman perlu menghormati nilai-nilai asas yang menjadi tunjang sistem perundangan negara,” katanya sambil menambah bahawa ketiga-tiga defendan mesti menutup saluran Telegram terbabit dan mengelakkan daripada menyebarkan kandungan berbahaya selanjutnya.

Injunksi Erinford ialah satu bentuk perintah sementara yang diberikan untuk mengekalkan status quo, selepas mahkamah menolak permohonan injunksi semasa perbicaraan atau pada peringkat awal, biasanya sementara menunggu rayuan terhadap keputusan tersebut. – BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

Telegram, pentadbir Edisi Siasat, Edisi Khas dilarang sebar kandungan mudarat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast