KUALA LUMPUR — Seorang tukang urut wanita menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, selepas mengaku bersalah memuat naik video serta gambar sijil nikah palsu melibatkan beliau dengan seorang kerabat diraja, Februari lalu.
Hakim Suhaila Haron menjatuhkan hukuman itu terhadap Persana Avril Sollunda selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah pada sebutan semula kes, hari ini.
Tempoh hukuman penjara bermula daripada tarikh dia ditangkap pada 18 Jun lepas.
Berdasarkan pertuduhan, Persana didakwa membuat dan memulakan penghantaran kandungan palsu melalui akaun TikTok king.charles.ratu yang memaparkan sijil pernikahan tidak sah antara beliau yang digelar Crown Princess Ratu Shana dan seorang kerabat diraja.
Perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk mengganggu orang lain pada 25 Februari lalu.
Hantaran tersebut dikesan oleh pihak berkuasa pada keesokannya, 26 Februari, di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Bukit Aman.
Tindakan tertuduh itu dikategorikan sebagai satu kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham, dalam hujahnya berkata, perbuatan tertuduh adalah serius kerana melibatkan nama baik institusi diraja dan memberi kesan meluas selepas video itu tular di media sosial.
“Kesalahan ini bukan sahaja mengganggu ketenteraman awam, malah mencemarkan imej institusi diraja.
“Hukuman berbentuk penjara wajar dijatuhkan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar lebih berhati-hati sebelum menyebarkan maklumat di media sosial,” katanya.
Sementara itu, peguam bela, Datuk Noor Svetlana Mohd Noordin memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya mengalami trauma kesan perkahwinan terdahulu dan kini sedang mendapatkan rawatan kesihatan mental secara berterusan.
Namun mahkamah berpendapat perbuatan menyebar maklumat palsu berkaitan individu berprofil tinggi bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan sebelum memerintahkan hukuman penjara setahun dijalankan serta-merta. – MalaysiaGazette
















