KUALA LUMPUR – Pelumba Moto3 Switzerland, Noah Dettwiler yang terbabit dalam kemalangan serius pada Grand Prix (GP) Malaysia pada Ahad lalu kini sudah sedarkan diri dan boleh berkomunikasi dengan keluarganya.
Pasukannya, CIP Green Power KTM memaklumkan Dettwiler telah dipindahkan keluar dari unit rawatan rapi (ICU) selepas mengalami keretakan pada bahagian leher.
“Selepas menjalani imbasan X-ray tambahan, doktor turut menemui keretakan pada lehernya. Dia perlu memakai pendakap leher selama beberapa minggu untuk menstabilkannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahad lalu, perlumbaan Moto3 di Litar Antarabangsa Sepang terpaksa ditunda dan dipendekkan selepas insiden membabitkan juara dunia baharu, Jose Antonio Rueda dan Dettwiler ketika pusingan sighting lap.
Kedua-dua pelumba itu masih sedar selepas kemalangan dan segera dihantar ke hospital menggunakan helikopter.
Dettwiler juga sudah dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur untuk meneruskan proses pemulihannya.
Dia dijadual akan menjalani pembedahan selanjutnya pada kakinya namun belum dapat dipastikan sama ada ia akan dijalankan di Malaysia atau selepas pulang ke Switzerland.
Pasukannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada staf perubatan di litar, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Hospital Kuala Lumpur atas kepakaran dan sokongan mereka.
Sementara itu Rueda dilaporkan sudah pulang ke Sepanyol pada Khamis lalu untuk menjalani pembedahan pada tangan kanannya yang patah. – MalaysiaGazette















