KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) menahan dan menyita 14 kenderaan perdagangan dalam Operasi Perang Lebih Muatan yang dijalankan di sekitar ibu negara baru-baru ini.
Operasi yang bermula dari 14 Oktober hingga 31 Disember ini menyasarkan kenderaan perdagangan yang membawa muatan berlebihan dan melanggar peraturan jalan raya di sekitar ibu negara.
Menurut JPJ WPKL, tindakan itu diambil selepas kenderaan terbabit dikesan melakukan pelbagai kesalahan termasuk membawa muatan berlebihan, melanggar syarat tahap perkhidmatan, tiada lesen memandu sah, ketiadaan perlindungan insurans serta kesalahan teknikal lain.
Daripada jumlah itu, enam pemandu merupakan warga asing dari Indonesia dan India manakala lapan lagi warga tempatan dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan peraturan berkaitan.
“Sepanjang operasi, sebanyak 5,967 kenderaan diperiksa dan 2,398 saman dikeluarkan terhadap 939 kenderaan, dengan tumpuan kepada kawasan kuari, pelabuhan dan perindustrian berat yang sering melibatkan muatan berlebihan seperti batu, pasir, tanah dan kayu balak,” kata Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan WPKL dalam satu kenyataan.
JPJ WPKL turut berdepan pemandu yang enggan memberi kerjasama dan tindakan sedemikian boleh didenda hingga RM200,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun di bawah Seksyen 234 APAD 2010.
JPJ menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pemandu, pemilik atau syarikat pengangkutan yang cuai serta mengabaikan keselamatan awam hingga mengakibatkan kerosakan jalan raya atau kemalangan.
JPJ turut menggesa orang awam menyalurkan maklumat pelanggaran undang-undang jalan raya melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau emel [email protected] dengan butiran lengkap bagi membantu penguatkuasaan berterusan. – MalaysiaGazette















