Mohd Nazri Abu Hassan
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan menjelaskan bahawa beliau yang menandatangani surat yang diserahkan kepada Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan tanda penentangan terhadap kepimpinan atau keputusan parti.
Sebaliknya Mohd Nazri berkata, ia merupakan satu isyarat keprihatinan agar segala proses dalaman parti dapat dijalankan dengan penuh keadilan, ketelusan dan hikmah.
“Saya kekal setia dan percaya kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta seluruh struktur pimpinan parti yang sah.
“Bersatu perlu kekal fokus kepada perjuangan rakyat dan tidak terperangkap dalam polemik dalaman yang hanya menguntungkan pihak lawan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sebelum ini, seramai 16 Ahli Parlimen Bersatu, termasuk Mohd Nazri, menandatangani sepucuk surat yang diserahkan kepada Muhyiddin bagi menyatakan kebimbangan serius mereka terhadap polemik dalaman yang sedang melanda parti itu.
Melalui surat bertarikh 23 Oktober lalu itu, mereka menyatakan pendirian bahawa pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama satu penggal sebagai langkah tidak bijak.

Mereka menyifatkan hukuman itu tidak kena pada masanya, sekali gus dilihat boleh mengganggu momentum sokongan rakyat terhadap pembentangan Gagasan Belanjawan Perikatan Nasional (PN) oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Malah, mereka tidak bersetuju dengan keputusan parti untuk memanggil Hamzah yang juga Timbalan Presiden BERSATU, ke Lembaga Disiplin, sekali gus menyifatkan tindakan itu sebagai tidak masuk akal.

Menurut Mohd Nazri, ketika menandatangani surat tersebut, beliau tidak dimaklumkan bahawa Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal sedang melalui proses rayuan rasmi sebagaimana yang diperuntukkan di bawah perlembagaan parti.

Tambahnya, beliau menghormati hak setiap ahli untuk mengemukakan rayuan dan percaya bahawa Lembaga Disiplin dan Majlis Pimpinan Tertinggi akan menilai perkara ini dengan adil dan berhemah.
“Sebagai Ahli Parlimen dan ahli parti, saya kekal berpegang kepada prinsip bahawa setiap tindakan dan keputusan perlu dibuat mengikut saluran yang betul,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Nazri menasihati Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal agar menangguhkan sebarang program atau kenyataan awam sepanjang tempoh rayuan berlangsung bagi menjaga kredibiliti proses dan nama baik parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast