BAYAN LEPAS – Siasatan dan pemantauan di lokasi kejadian lubang benam di Jalan Kenari, Sungai Ara, di sini, masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, sebagai langkah mitigasi awal, penghadang plastik telah dipasang.
Jelasnya, penutupan sementara jalan masih berkuat kuasa selain aliran trafik dialihkan ke Jalan Sungai Ara 1, Jalan Persiaran Relau dan Jalan Kedidi.
“Pihak utiliti, iaitu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Indah Water Konsortium (IWK) kini berada di tapak untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap sistem perpaipan di bawah seliaan mereka.
“Kerja-kerja siasatan dan pemantauan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca serta tindakan susulan yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Zairil, kerajaan negeri mengambil maklum penutupan sementara jalan itu memberi kesan kepada aliran trafik setempat, namun tindakan berkenaan perlu dilaksanakan demi keselamatan pengguna jalan raya.
“Kami memohon kesabaran dan kerjasama semua pengguna jalan raya sementara agensi-agensi terlibat berusaha gigih menyelesaikan isu ini secepat mungkin,” katanya.
Media semalam melaporkan Jalan Kenari di Sungai Ara, di sini, ditutup kepada semua kenderaan bagi memberi laluan kepada kerja pembaikan selepas kejadian lubang benam selebar lima meter di kawasan berkenaan.
Difahamkan kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang itu tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda. – MalaysiaGazette
















