Meenakshi Raman

GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan supaya memperkenalkan peraturan kewangan yang lebih ketat bagi melindungi hutan tropika dan hak komuniti setempat.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, ia susulan laporan terbaharu Forests & Finance Coalition mendapati pembiayaan kepada sektor yang berisiko menyebabkan penebangan hutan terus meningkat meskipun selepas Perjanjian Paris.

“Sejak 2016, bank telah menyalurkan kredit berjumlah AS$429 bilion kepada syarikat komoditi berisiko hutan, manakala pelabur global memegang saham dan bon bernilai AS$42 bilion dalam sektor sama.

“Pelabur institusi Malaysia seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) turut tersenarai antara pelabur utama dalam sektor tersebut.

“Walaupun semakin banyak institusi kewangan tempatan memperkenalkan dasar pelaburan bertanggungjawab dan komitmen kepada ESG serta NDPE, langkah sukarela ini masih belum mencukupi untuk menangani kemusnahan hutan dan isu hak asasi manusia,” katanya hari ini.

Tambah Meenakshi, kerajaan perlu menutup jurang akauntabiliti dengan mewajibkan usaha wajar terhadap risiko penebangan hutan, mengenakan penalti ke atas pinjaman berisiko tinggi serta memastikan pendedahan portfolio lebih telus.

“Selepas sedekad pendekatan sukarela, sudah tiba masanya peraturan yang boleh dikuatkuasakan diperkenalkan bagi memastikan kewangan memainkan peranan melindungi biodiversiti dan masyarakat,” katanya.

Inisiatif Forests & Finance ialah gabungan pertubuhan kempen dan penyelidikan antarabangsa yang menjejaki aliran kewangan ke sektor berisiko hutan.

Gabungan ini turut memperjuangkan peraturan kewangan yang kukuh dan boleh dikuatkuasakan bagi melindungi hutan, biodiversiti serta hak masyarakat Orang Asal.

Ia dianggotai antara lain oleh Rainforest Action Network, TuK Indonesia, Profundo, Amazon Watch, Milieudefensie, CED Cameroon, Reporter Brasil, Observatorio da Mineracao, BankTrack, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Friends of the Earth US. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast