KUALA LUMPUR – Beberapa laluan di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) akan ditutup dan dilencongkan sementara mulai jam 10 malam Sabtu hingga jam 8 pagi Ahad ini bagi memberi laluan kepada kepada acara Klang Royal City Marathon 2025.

Menurut West Coast Expressway (WCE), penutupan itu melibatkan keseluruhan laluan dari Persimpangan Bandar Bukit Raja Selatan hingga ke Persimpangan Assam Jawa.

Antara lokasi terlibat ialah susur masuk ke WCE melalui Lebuhraya Grand Bersepadu, Jalan Meru, Persiaran Hamzah Alang, Lebuhraya LATAR, dan Jalan Kuala Selangor.

WCE memaklumkan bahawa laluan alternatif pertama akan dilencongkan ke Persiaran Hamzah Alang (B3217) menuju ke Pekan Baru dan seterusnya ke Jalan Meru B1 untuk ke Klang dan Shah Alam dari Kapar atau sebaliknya.

Selain itu, laluan alternatif kedua melibatkan lencongan ke Jalan Kuala Selangor (FT54) menuju ke Jalan Klang (FT005) melalui Pekan Kapar dan ke Jalan Meru B1 untuk ke Klang dan Shah Alam dari Ijok dan Assam Jawa atau sebaliknya.

WCE berkata, langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan peserta maraton serta kelancaran acara sepanjang tempoh pelaksanaan sambil menyarankan pengguna jalan raya merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif yang dicadangkan.

“WCE memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan menghargai kerjasama pengguna lebuh raya,” katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, petugas trafik, anggota PDRM, papan tanda dan penghadang keselamatan akan ditempatkan di lokasi penutupan bagi membantu melancarkan pergerakan trafik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast