Logo UPM
Universiti Putra Malaysia (UPM)

KUALA LUMPUR- Universiti Putra Malaysia (UPM) disenaraikan pada kedudukan ke-22 daripada 1,526 universiti di Asia dalam QS World University Rankings 2026: Asia, sekali gus mengekalkan status sebagai universiti ke-2 terbaik di Malaysia dan ke-4 terbaik di Asia Tenggara.

Pencapaian tersebut mengukuhkan kedudukan UPM dalam kelompok satu peratus teratas universiti di Asia, hasil peningkatan menyeluruh dalam kesemua 11 indikator penilaian QS, termasuk empat indikator utama yang mencatat skor penuh (100%) iaitu Inbound Exchange, Outbound Exchange, International Students dan Staff with PhD.

Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata keputusan tersebut mencerminkan peningkatan berterusan universiti sejak 2023, dengan markah keseluruhan dan sembilan daripada sebelas indikator kini berada pada tahap tertinggi.

“UPM menyedari bahawa universiti akan sentiasa dinilai melalui pelbagai metrik penarafan, namun kami tidak menjadikannya matlamat strategik. Sebaliknya, ia digunakan sebagai petunjuk kemajuan dan penambahbaikan berterusan.

“Falsafah kami adalah untuk sentiasa lebih baik daripada tahun sebelumnya. Kami memberi keutamaan kepada prestasi markah berbanding kedudukan kerana ranking bersifat relatif terhadap universiti lain. UPM tidak bersaing, sebaliknya memilih untuk terus berkolaborasi,” katanya.

Beliau menambah, pencapaian dalam QS Asia 2026 membuktikan keberkesanan pendekatan strategik UPM yang berpaksikan kerangka “True North” dalam memacu impak terhadap ilmu, negara, planet dan kemanusiaan.

Selain itu, UPM turut mengekalkan prestasi hampir sempurna dalam reputasi akademik (99.3%) dan reputasi majikan (98%), serta mencatat peningkatan dalam indikator Papers per Faculty dan Citations per Paper yang menjadi ukuran utama keaktifan penyelidikan dan impak penerbitan.

Pencapaian konsisten itu menegaskan komitmen UPM untuk terus memperkukuh reputasi global sebagai universiti penyelidikan bertaraf dunia yang berteraskan kemampanan, inovasi dan kesejahteraan sejagat, selaras dengan hala tuju UPM True North serta Blueprint Kesihatan Planet (Planetary Health Blueprint) universiti.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast