SHAH ALAM —  322 individu dilaporkan mengalami gejala keracunan makanan selepas menghadiri Program Hari Keluarga sebuah agensi kerajaan di sebuah taman tema di Selangor pada 4 Oktober lalu.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam kenyataan semalam berkata, hasil siasatan awal mendapati 6.8 peratus daripada 4,710 individu yang terdedah mengalami gejala cirit-birit, muntah dan sakit perut.

“Majoriti kes melibatkan golongan dewasa (92%) manakala selebihnya terdiri daripada kanak-kanak dan remaja. Semua kes telah mendapatkan rawatan dan tiada kes dimasukkan ke wad atau Unit Rawatan Rapi (ICU), serta tiada kematian dilaporkan,” menurut kenyataan itu.

JKNS memandang serius insiden berkenaan dan menjelaskan kejadian berpunca daripada pencemaran pada makanan dan peralatan memasak yang digunakan semasa penyediaan hidangan.

“Antara faktor penyumbang ialah penyediaan makanan dalam kuantiti besar oleh bilangan pengendali yang terhad, tempoh penyimpanan makanan yang panjang sebelum dihidangkan serta kemungkinan berlaku pencemaran silang semasa proses penyediaan,” kata JKNS.

Penilaian risiko mendapati pencemaran berpunca daripada dapur premis taman tema serta dapur tersebut ditutup sementara untuk tujuan pembersihan dan pembasmian kuman manakala penutupan keseluruhan taman tema tidak diperlukan kerana kawasan lain tidak terjejas.

Sebagai langkah susulan, JKNS juga telah menjalankan komunikasi risiko serta sesi libat urus bersama pengurusan taman tema dan penganjur program bagi memperkukuh amalan kebersihan makanan.

JKNS turut menasihatkan semua pengendali makanan agar mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, selain memastikan amalan kebersihan dan keselamatan diberi keutamaan di setiap peringkat penyediaan.

Orang ramai pula diingatkan berhati-hati dalam memilih premis makanan, serta segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala seperti cirit-birit, muntah atau sakit perut selepas makan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast