KUALA LUMPUR – Lebih 500 mahasiswa anak Johor yang menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS), UiTM Cawangan Sabah, dan Politeknik Kota Kinabalu diraikan diraikan dalam Majlis Makan Malam Menteri Besar Johor bersama Mahasiswa Anak Johor di Perantauan dan bantuan one-off sebanyak RM200
Program ini manifestasi keprihatinan Kerajaan Negeri Johor terhadap pelajar yang menuntut jauh di perantauan, khususnya di kepulauan Borneo.
Bantuan one-off sebanyak RM200 kepada mahasiswa Johor di seluruh negara satu inisiatif prihatin yang diumumkan pada 11 September 2025 lalu melalui peruntukan tambahan khas untuk kebajikan rakyat Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, bantuan itu membantu mereka merancang keperluan akademik dan kos perjalanan, termasuk menampung perbelanjaan pulang ke Johor untuk bertemu keluarga tercinta.
Inisiatif ini sebagai suntikan semangat dan sokongan moral kepada para mahasiswa yang sedang menempuh cabaran dunia universiti, selain melengkapkan rangkaian bantuan pendidikan negeri seperti Insentif Mahasiswa Anak Johor (IMAJ), Skim Bantuan Pendaftaran IPT, dan Skim Pinjaman Pelajaran IPT, yang selama ini menjadi tunjang utama kesejahteraan pelajar Johor.
Dalam majlis itu, Onn Hafiz turut menyerahkan Bantuan Laptop Siswa Johor kepada mahasiswa bagi menyokong proses akademik mereka sekali gus memastikan akses pendidikan digital dapat dinikmati oleh semua anak Johor tanpa mengira jarak.
“Saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor atas kepimpinan dan keprihatinan beliau terhadap keperluan mahasiswa Johor. Inisiatif Bantuan One-Off ini membuktikan suara dan kebajikan anak muda Johor terus menjadi keutamaan kerajaan negeri dan akan sentiasa diperjuangkan.
“Kepada semua anak-anak Johor di Sabah, walaupun jauh di perantauan, ingatlah bahawa anda tetap dekat di hati kami. Kepimpinan negeri akan terus menyokong dan mendoakan kejayaan anda semua di bumi di bawah bayu ini. Seperti pesanan saya, apabila anda telah berjaya kelak, pulanglah dan berbaktilah kepada negeri tercinta, Johor Darul Ta’zim,” katanya.- MalaysiaGazette















