KUALA LUMPUR – Empat lelaki berusia antara 21 hingga 32 tahun ditahan selepas didapati positif dadah dalam satu operasi pemeriksaan dan pencegahan yang dijalankan sekitar kawasan Bau, Sarawak semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide Rahman berkata, operasi dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau bermula sekitar jam 4.15 petang hingga 7.05 malam.
“Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas keempat-empat suspek mendapati mereka positif dadah dan ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan tindakan tegas akan diambil.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah boleh menyalurkannya kepada pihak polis melalui Hotline JSJN Bukit Aman di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di talian 017-592 9211. -MalaysiaGazette
















