KUALA LUMPUR – Polis menahan 398 individu dalam operasi bersepadu ‘Op Noda’ yang dijalankan serentak di seluruh negara bermula Jumaat lepas hingga kelmarin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, sebanyak 103 premis didapati beroperasi tanpa lesen hiburan yang sah daripada di 118 premis pusat hiburan yang diperiksa.
Mereka yang ditahan terdiri daripada lima pemilik premis, tiga pengurus premis, 150 pekerja, 112 pelanggan serta 128 pelayan pelanggan (GRO) warga asing selain sejumlah wang tunai dan pelbagai peralatan bagi tujuan hiburan turut dirampas.
“Daripada jumlah itu, 87 orang adalah rakyat tempatan iaitu 76 lelaki dan 11 wanita, manakala 311 lagi adalah warga asing iaitu 151 lelaki dan 160 wanita yang kesemuanya berumur dalam lingkungan 19 tahun hingga 55 tahun,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kesemua mereka telah dibawa ke ibu pejabat polis daerah yang berdekatan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
Operasi dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di negeri yang berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 15(1)(C), Seksyen (6)(1)(C) serta Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 selain turut membabitkan Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Enakmen Hiburan serta Ordinan Hiburan negeri di mana individu berkenaan ditahan. – MalaysiaGazette















