GEORGE TOWN – Pengguna Rapid Penang On-Demand bakal menikmati tempahan lebih mudah apabila Rapid Bus memperkenalkan aplikasi baharu, Rapid On-Demand, menggantikan Kummute mulai 15 November ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha penyeragaman sistem tempahan di negeri ini dan Lembah Klang, sekali gus memperkukuh operasi serta mempertingkat kemudahan digital kepada pengguna.

Jelasnya, Rapid On-Demand menampilkan antara muka baharu yang lebih mesra pengguna, selain dilengkapi fungsi tambahan seperti penetapan lokasi jemputan, paparan masa ketibaan kenderaan secara masa nyata, serta kemas kini status tempahan secara langsung bagi memastikan pengalaman penggunaan lebih lancar dan efisien.

“Peralihan kepada aplikasi Rapid On-Demand di Pulau Pinang ini bukan sahaja memudahkan proses tempahan, tetapi turut meningkatkan kecekapan operasi dan kualiti perkhidmatan.

“Ia melengkapkan usaha penyelarasan aplikasi di semua wilayah operasi kami, agar setiap pengguna menikmati pengalaman perjalanan yang lebih baik, mudah dan boleh dipercayai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, promosi tambang RM1 bagi setiap perjalanan akan diteruskan untuk semua pengguna Rapid Penang On-Demand di 11 zon perkhidmatan, dengan pilihan pembayaran melalui kad debit atau kredit, DuitNow QR, e-dompet, Pas Perjalanan Tanpa Had Mutiara dan Pas Rapid Mesra (dahulunya dikenali sebagai Pas OKU Smile).

Aplikasi Rapid On-Demand boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store dan Apple App Store, manakala pengguna Kummute sedia ada disarankan beralih kepada aplikasi baharu itu sebelum tarikh peralihan bagi mengelak gangguan perkhidmatan.

Maklumat lanjut mengenai zon liputan dan cara penggunaan aplikasi boleh diperoleh melalui saluran media sosial rasmi Rapid Penang atau laman web www.myrapid.com.my. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast