ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah kini berada pada fasa akhir untuk memuktamadkan pelantikan pasukan guaman bagi memulakan tindakan perundangan berkaitan kedudukan hubungan dengan Pulau Pinang.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, langkah susulan akan menyusul dalam tempoh sebulan dua lagi.
“Kerajaan Negeri menjunjung kasih atas keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah atas isu kedudukan dan hubungan Negeri Kedah dengan Pulau Pinang, khususnya membabitkan aspek sejarah termasuk isu pajakan yang perlu diperjelaskan secara telus.
“Susulan itu, kita (kerajaan negeri) telah melantik pasukan penyelidik yang terdiri daripada pakar-pakar sejarah dan perundangan.
“Kajian mereka telah pun selesai dan pada 15 April lalu, pasukan ini telah membentang laporan akhir kajian mereka kepada Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri serta Ahli-ahli Parlimen berkaitan isu tersebut,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Kedah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Tambah Muhammad Sanusi, pihaknya ketika ini dalam peringkat memuktamadkan lantikan peguam bagi melaksanakan analisis, penyediaan dokumen serta proses perundangan di mahkamah.
“Insya- Allah, perkembangan selanjutnya akan menyusul dalam tempoh sebulan dua lagi,” katanya.
Untuk rekod, pada 2021, kerajaan Kedah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan, selepas pajakan itu tidak pernah dinilai semula sejak 1786.
Sementara itu, Muhammad Sanusi turut memaklumkan pihaknya sedang memperkukuh potensi penjanaan hasil negeri menerusi sumber air Sungai Muda.
“Selain menjadi sumber bekalan air Negeri Kedah, sungai ini turut menampung keperluan air di negeri jiran. Namun, beban pemuliharaan dan mitigasi sungai yang ditanggung oleh Kedah masih belum seimbang dengan hasil yang diterima,” katanya. – MalaysiaGazette
















