AHLI Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mencadangkan kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan peperiksaan awam seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Menengah Rendah (PMR) bagi menangani peningkatan kes buli, keganasan serta masalah disiplin di sekolah-sekolah awam.

Beliau berkata, berdasarkan data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), jumlah kes buli dan keganasan meningkat daripada 3,883 kes pada tahun 2022 kepada 7,681 kes pada tahun 2024, satu lonjakan besar yang membimbangkan masyarakat.

“Persoalannya, adakah terdapat hubungan atau correlation antara ketiadaan peperiksaan dan peningkatan kes-kes ini?

“Adakah kementerian bercadang menjalankan kajian untuk menentukan kaitan tersebut?” soalnya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Ramkarpal, peperiksaan mandatori seperti UPSR dan PMR bukan sahaja menilai tahap akademik pelajar, tetapi turut berperanan membentuk disiplin dan fokus terhadap pelajaran.

“Pengenalan semula penilaian akademik mungkin dapat mengurangkan masa pelajar terdedah kepada permainan video dan kandungan media sosial yang boleh mempengaruhi tingkah laku mereka,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian terhadap peningkatan kes berprofil tinggi seperti pembunuhan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama 4 dekat sini yang menurutnya mencerminkan tahap keganasan di sekolah semakin serius.

“Walaupun melarang sepenuhnya permainan dalam talian agresif tidak praktikal, kerajaan boleh memperkenalkan alternatif berstruktur seperti aktiviti kokurikulum mandatori, sukan dan program disiplin bagi membentuk sahsiah pelajar serta mengurangkan risiko buli,” ujarnya.

Dalam perbahasan sama, beliau turut menyorot peruntukan RM2 bilion bagi menaik taraf 520 sekolah daif di Sabah dan Sarawak namun menegaskan cabaran utama seperti kekurangan guru, akses pengangkutan dan internet masih membelenggu kawasan luar bandar.

Ramkarpal juga meminta penjelasan berhubung peruntukan RM70 juta bagi membekalkan televisyen pintar kepada prasekolah dan tadika untuk meningkatkan literasi digital termasuk jenis perisian dan silibus dalam talian yang akan digunakan serta sama ada ia diseragamkan di seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast