KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi peneraju dalam pendidikan media dan komunikasi apabila Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) menganjurkan program Newscamp 5.0, bengkel dwi tahunan yang menumpukan kepada tema “Kewartawanan Komuniti: Pemangkin Perubahan Sosial.”
Bertempat di Dewan Sri Meranti, UiTM Shah Alam, program anjuran pelajar tahun akhir kewartawanan itu menghimpunkan lebih 100 peserta dari pelbagai kampus UiTM, sekali gus menjadi platform penting mempertemukan mahasiswa dengan pengamal industri media utama negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Dr. Ainol Amriz Ismail berkata, program seperti ini memberi pendedahan kepada peserta tentang landskap dan cabaran media yang semakin hebat serta menuntut komitmen wartawan khususnya media arus perdana.

“Banyak cabaran akan menanti wartawan di masa hadapan, dan pastinya program ini membantu menyiapkan peserta sebelum mereka menjalani latihan praktikal.
“MPI juga akan mengadakan Mini Forum yang akan berlangsung di Universiti Teknologi MARA, Kampus Rembau. Ia program yang menghubungkan pihak industri bertemu dengan pelajar untuk berkongsi pengalaman,” katanya.
Turut hadir memberi sokongan ialah Ketua Editor Digital Buletin TV3, Azwaliza Azman
Bengkel sehari itu menampilkan dua sesi utama bersama tenaga profesional daripada Media Prima Berhad, iaitu Hilmi Abdul Malik, Wartawan Penyiasatan yang mengendalikan sesi bertajuk “Writing Guidance on Community News”, dan Zharif Aziz Desa, Wartawan Multimedia yang membimbing peserta melalui sesi “The Local Angle: Discovering Impactful Community Stories.”

Kedua-dua sesi memberi pendedahan langsung kepada peserta tentang bagaimana menulis laporan komuniti yang autentik, berimpak dan mencerminkan realiti sebenar masyarakat.
Sementara itu, panel jemputan Hilmi Malik berkata, NewsCamp 5.0 perlu diteruskan kerana banyak potensi yang boleh digilap khususnya buat pelajar-pelajar.

“Saya berharap untuk program akan datang lebih ramai tokoh-tokoh media datang berkongsi pengalaman mereka dengan pelajar-pelajar kerana ia merupakan satu inisiatif yang perlu diteruskan bagi menjamin kualiti pelajar Komunikasi dan Pengajian Media mendapatkan tempat di luar apabila menjejakkan kaki ke industri,” katanya semasa menghadiri NewsCamp 5.0.
Bagi Zharif Aziz pula, wartawan berperanan besar dalam membentuk masyarakat dan menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat, sehingga boleh mengubah sesuatu perkara seperti akta pengajaran pendidikan dan nilai, boleh membentuk sifat manusia, mengubah sosio ekonomi, psikologi individu ataupun corak kehidupan masyarakat itu.

“Peranan wartawan penting kerana mereka bukan sekadar menyampaikan maklumat tetapi membentuk insan yang berguna, berpengalaman, berilmiah, berjati diri, seperti guru yang membantu menyampaikan ilmu,” katanya.
Ketua Projek Newscamp 5.0, Haikal Mohd Nor Azmi berkata, inisiatif ini menjadi pengalaman yang amat berharga kepada pelajar tahun akhir kewartawanan UiTM.
“Projek tahun akhir pelajar kewartawanan ini telah banyak memberikan pendedahan kepada kami tentang pentingnya membina jalinan industri dengan organisasi, pengamal media dan juga alumni.
“Melalui program seperti ini, kami bukan sahaja belajar kemahiran teknikal kewartawanan, tetapi juga membina rangkaian profesional yang bermanfaat untuk kerjaya masa hadapan,” katanya.
Penganjuran Newscamp 5.0 sekali lagi memperkukuh komitmen UiTM untuk melahirkan wartawan muda yang beretika, berkemahiran dan peka terhadap tanggungjawab sosial, seiring dengan aspirasi universiti untuk menjadi peneraju dalam melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global. – MalaysiaGazette















