Bank Islam

KUALA LUMPUR – Bank Islam dinobatkan sebagai majikan paling popular dalam kalangan pelajar dan graduan di Malaysia bagi tahun 2025, menurut Tinjauan Pasaran Kerja Graduan Tahunan oleh GTI Media Malaysia.

Dapatan itu hasil tinjauan yang dijalankan dari Januari hingga September 2025 melibatkan 51,457 pelajar dan graduan baharu daripada universiti awam dan swasta di seluruh negara.

Dalam tinjauan tersebut, responden diminta menyenaraikan majikan yang menjadi pilihan utama selepas tamat pengajian serta mengenal pasti faktor yang mempengaruhi pencarian kerja dan keputusan mereka memilih majikan.

Ia merupakan kejayaan kali pertama Bank Islam menduduki tempat teratas dalam senarai Malaysia’s 100 Leading Graduate Employers, sekali gus muncul sebagai majikan nombor satu dalam sektor perbankan, menewaskan juara sembilan kali terdahulu, Maybank.

Syarikat perkhidmatan industri minyak SLB menduduki tempat kedua, juga kali pertama muncul sebagai majikan kedua paling digemari oleh graduan tempatan.

Manakala, firma perakaunan dan perkhidmatan professional, EY mengekalkan kedudukan di tempat ketiga, sama seperti tahun 2024.

Tinjaun itu turut melaporkan kebimbangan graduan mengenai peluang pekerjaan dan peningkatan kos sara hidup mereka pada tahun 2025.

Dapatan ini menyaksikan mereka semakin realistik dalam menjangka gaji permulaan.

Purata anggaran gaji graduan bagi tahun 2025 berada pada RM3,000 – RM3,600, berbanding RM3,000 – RM4,000 pada tahun 2024.

Antara kebimbangan utama responden adalah 84% merasakan gaji graduan tidak seiring dengan kos sara hidup bandar dan 74% lagi percaya bahawa sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang baik pada tahun 2025 dan 2026.

Menurut Isaac Hee, Pengarah Urusan GTI Media Malaysia, graduan kini memberi keutamaan kepada kestabilan ketika memulakan kerjaya dalam
keadaan ekonomi yang mencabar.

“Majikan yang berjaya menambat perhatian graduan tahun ini berkongsi kekuatan yang sama, iaitu keupayaan untuk menyediakan prospek kerjaya
jangka panjang secara konsisten.

“Walaupun pasaran kerja tempatan sememangnya mencabar ketika ini, namun inilah masanya bagi majikan tempatan untuk melabur dalam menjana bakat awal kerjaya bagi pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh dalam dua hingga tiga tahun akan datang. Langkah penjimatan bukanlah penyelesaian
ekonomi jangka panjang,” kata Hee.

Tinjauan Pasaran Kerja Graduan Tahunan itu turut mendedahkan lima faktor utama yang mempengaruhi graduan memilih majikan iaitu:
1. Bekerja di bawah pimpinan yang baik: Peluang dibimbing oleh
pemimpin dan mentor yang berwibawa serta berprinsip.
2. Gaji dan imbuhan: Pampasan kewangan dan faedah yang kompetitif.
3. Keseimbangan kerjaya dan kehidupan: Peluang untuk mengekalkan keseimbangan yang sihat antara tanggungjawab kerja dan kehidupan peribadi.
4. Perkembangan dan pembangunan sahsiah peribadi: Keupayaan
untuk mengembangkan kemahiran peribadi dan profesional.
5. Jaminan pekerjaan: Peluang pekerjaan yang stabil tanpa mengira perubahan pasaran luar.

Selain itu, responden tinjauan tersebut turut menyatakan pandangan berikut:
 57% graduan berhasrat mencari peluang pekerjaan di luar negara selepas tamat pengajian. Daripada jumlah itu, 77% menyatakan sebab utama ialah peluang kemajuan kerjaya yang lebih baik di luar negara.

 75% graduan menyatakan bahawa pendirian majikan terhadap isu kelestarian alam sekitar amat mempengaruhi pilihan mereka, manakala 52% lagi menekankan sokongan majikan terhadap kesihatan mental pekerja sebagai faktor penting.

 66% graduan menyuarakan kebimbangan terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang kerja pilihan mereka. Ini mencerminkan ketidakpastian yang semakin meningkat mengenai bagaimana sikap majikan terhadap automasi boleh menjejaskan peluang pekerjaan pada masa hadapan.

 Walaupun bimbang dengan keadaan ekonomi, 82% graduan menegaskan bahawa isu moral dan etika tetap memainkan peranan penting dalam pemilihan majikan. Tambahan pula, 76% menyatakan penting bagi mereka untuk merasakan kerjaya mereka menyumbang kepada tujuan sosial yang lebih besar.

Dalam menghadapi kebimbangan terhadap automasi, Hee turut menekankan kepentingan bagi graduan untuk memperkukuh kemahiran insaniah dan kemahiran interpersonal jika ingin menonjol sebagai calon yang berdaya saing.

“Berita baiknya, tiada bukti menunjukkan AI generatif boleh menggantikan pekerjaan secara keseluruhan.

“Kajian terbaru oleh Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat dari Julai 2025 menunjukkan 95% percubaan mengintegrasikan AI di tempat kerja gagal, kerana model AI tidak mampu memahami konteks dan tidak dapat disepadukan dengan proses kerja dengan berkesan, kata Hee.

Menurut beliau, untuk menonjol, graduan perlu membuktikan kekuatan yang tidak boleh digantikan oleh automasi dan digalakkan untuk membina pemikiran kritikal, empati dan kemahiran berinteraksi dengan manusia.

Para graduan juga digalakkan untuk menunjukkan keupayaan belajar dan menyesuaikan diri di tempat kerja, serta memupuk rasa ingin tahu tentang dunia sekeliling mereka.

“Nilai kemanusiaan anda merupakan aset terpenting kerana pekerjaan yang bermakna pada dasarnya bertujuan memenuhi keperluan manusia, baik di peringkat individu mahupun negara Kami menggalakkan graduan agar tidak melupakan perkara ini walaupun dalam keadaan sukar,” tambah Hee. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast