KEPALA BATAS – Polis membuka siasatan berhubung penemuan seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat di hadapan tandas sebuah rumah kampung di Sungai Dua di sini, pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, pihaknya menerima makluman orang awam pada jam 6.28 pagi sebelum sepasukan anggota dari IPD Seberang Perai Utara bersama Forensik Kontinjen Pulau Pinang dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan mendapati bayi itu cukup sifat dan berada dalam keadaan baik.
“Susulan itu, bayi terbabit dihantar ke Hospital Seberang Jaya dan disahkan berada dalam keadaan normal serta sihat sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.
“Kita harap orang ramai tidak mensensasikan kes ini sehingga mengganggu siasatan polis.
“Pihak polis juga menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes Insp Irwan Shah Sumadi di talian 04 576 2222 (samb:!2275) atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette















