KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima alasan penuh keputusan yang diberikan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung penolakan rayuan badan induk itu berkaitan status kelayakan tujuh pemain warisan Malaysia.
Pemangku presidennya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, sehubungan itu, FAM akan memulakan proses untuk membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport, CAS).
“Langkah ini diambil bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta mempertahankan integriti proses kelayakan pemain yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan badan-badan berkaitan.

“FAM tetap komited memperjuangkan hak semua pemain yang layak mewakili negara, dan akan memastikan setiap tindakan diambil secara profesional, telus serta mengikut saluran undang-undang yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook FAM di sini hari ini.
Awal bulan ini, rayuan FAM dan tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA berhubung kesalahan pemalsuan dokumen ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan badan induk dunia itu,
Dalam kenyataan dikeluarkan, FIFA memaklumkan rayuan FAM serta pemain – Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano ditolak sepenuhnya selepas meneliti penghujahan dan prosiding pendengaran yang dijalankan.
Pada September lalu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala tujuh pemain masing-masing itu dikenakan denda CHF2,000 (RM10,600) serta digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan. – MalaysiaGazette















