KUALA LUMPUR – Parlimen dijangka mengadakan sesi pendengaran bersama pada akhir Januari 2026 bagi membincangkan cadangan pindaan berkaitan hak tanah masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia.
Menurut kenyataan bersama tiga jawatankuasa pilihan khas Parlimen, sesi itu akan menjadi platform rasmi bagi komuniti Orang Asli, kementerian dan pihak berkepentingan membentangkan pandangan mengenai cadangan pindaan undang-undang.
Dalam kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa, Wong Chen hari ini, pihaknya menegaskan, pindaan Akta Orang Asli mesti dipertimbangkan dengan teliti.
Ia kerana sebarang pindaan undang-undang akan memberi impak besar kepada kira-kira 200,000 komuniti berkenaan.
Selain itu,katanya, kerajaan juga digesa mengemukakan draf awal tiga bulan sebelum pembentangan Rang Undang-Undang untuk maklum balas bermakna.
“Pendedahan awal draf undang-undang kepada komuniti berkaitan dan jawatankuasa pilihan khas Parlimen dwipartisan adalah salah satu ciri penting demokrasi matang dan proses perundangan yang melibatkan penyertaan lebih luas,” kata beliau.

Kenyataan tersebut turut menekankan perlunya semua pihak berkepentingan menandatangani Perjanjian Tanpa Pendedahan (NDA) dan tidak mengedarkan draf awal untuk memastikan proses konsultasi teratur dan bebas elemen politik.
Jawatan itu menunjukkan kesediaan jawatankuasa Parlimen untuk bekerjasama dengan kerajaan, komuniti Orang Asli dan pihak berkepentingan lain dalam memastikan sebarang pindaan Akta Orang Asli 1954 adalah adil, telus dan menghormati hak masyarakat pribumi. – MalaysiaGazette















