MUAR – Seorang pesara swasta rugi RM173,506 selepas diperdaya ‘pegawai’ dari Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) yang mendakwanya terlibat dalam urusan kewangan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 67 tahun menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai Pegawai NFCC pada 12 Oktober lalu.
“Mangsa dituduh terlibat dalam urusan kewangan mencurigakan sebelum panggilan disambungkan kononnya kepada pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.
“Mangsa kemudian diarahkan untuk membuat pemindahan wang ke dalam beberapa akaun berbeza sebanyak 17 transaksi atau tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Raiz Mukhliz berkata, transaksi tersebut dilakukan bermula 29 Oktober hingga 6 November lalu berjumlah RM173,506.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan juga dikenakan denda.
Pihaknya menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan transaksi kewangan dan sentiasa mengikuti nasihat dalam laman media sosial polis seperti Facebook, Instagram, Tik Tok Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) bagi mendapat maklumat berkaitan modus operandi yang digunakan scammer.
Tambahnya, kerjasama masyarakat amat penting bagi membanteras jenayah penipuan digital yang semakin agresif.- MalaysiaGazette
















