KOTA KINABALU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) bersama sembilan kru termasuk tekong di perairan sekitar Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Isnin lalu.
Dalam kenyataannya hari ini, Pengarah Maritim Negeri, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, vesel ditahan kira-kira jam 5 petang semasa rondaan rutin Maritim Malaysia 2.7 batu nautika timur laut Pulau Gaya.

“Pemeriksaan mendapati kru dan tekong disyaki melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 serta Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga 2008 kerana gagal melaporkan pertukaran nakhoda seperti yang ditetapkan.
“Mereka juga disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala vesel beserta peralatan bernilai RM150,000 dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut,” tambah beliau.
Khairulanuar juga menegaskan bahawa pematuhan undang-undang oleh komuniti nelayan adalah penting dan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pihak yang ingkar. – MalaysiaGazette















