KUALA LUMPUR – Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengenakan tindakan disiplin terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta dua kelab utama Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor, susulan beberapa pelanggaran peraturan ketika saingan peringkat benua.
Menurut Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC, hukuman tersebut melibatkan perlawanan kelayakan Piala Asia 2027, Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
FAM dikenakan denda AS$1,875 (RM7,788) selepas melanggar Artikel 2.2 dalam Manual Operasi Pertandingan AFC ketika aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 14 Oktober lalu.
Menurut kenyataan jawatankuasa itu, wakil FAM menyebabkan permulaan babak kedua tertangguh selama dua minit 30 saat. Denda tersebut perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh pemakluman keputusan, selaras Artikel 11.3 Kod Tatatertib dan Etika AFC.
Sementara itu, juara Liga Super 11 musim berturut-turut, JDT didenda AS$5,000 (RM20,783) selepas gagal menyediakan ‘Stadium Bersih’ di venue latihan rasmi menjelang aksi ACLE menentang Machida Zelvia dari Jepun pada 30 September.
Selangor turut menerima hukuman apabila dikenakan denda AS$1,250 (RM5,195) selepas wakil pasukan menyebabkan permulaan separuh masa kedua lewat satu minit 20 saat ketika aksi ACL2 menentang Persib Bandung pada 23 Oktober. – MalaysiaGazette
















