KUALA LUMPUR – Sabah terus menjadi tumpuan pelancong apabila menjadi tuan rumah kepada Ekspedisi Borneo Safari ke-33 iaitu salah satu acara ekstrem ‘offroad’ atau luar jalan raya yang terbesar di rantau ini, baru-baru ini.
Ini kerana ekspedisi tahun ini telah menarik konvoi lebih daripada 600 kenderaan lasak pacuan empat roda dan menarik lebih 1,800 peminat dari seluruh dunia.
Sabah Tourism berkata, selain itu, negeri di bawah bayu itu juga menjadi tuan rumah kepada beberapa acara larian lasak dan pengembaraan seperti Borneo Ultra Trail Marathon, The Most Beautiful Trail, Oceanman, Kadamaian Ultra Race dan Mount Kinabalu International Climbathon.
“Walaupun sesuatu perlumbaan itu sudah berakhir dan debaran semakin reda, satu lagi bentuk pengembaraan sedang menanti.
“Di Sabah, keseronokan tidak berhenti walaupun perlumbaan sudah tamat kerana buminya yang dikelilingi dengan banjaran gunung, hutan hujan purba dan lautan yang mempesona dan menawarkan taman permainan untuk para pengemar cabaran, walaupun acara sudah berakhir.
“Sama ada anda gemarkan puncak gunung, denai hutan, jeram deras atau terumbu karang, landskap semula jadi Sabah yang luas menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk setiap jenis pengembara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Agensi kerajaan negeri itu menambah, Gunung Kinabalu kini terus menjadi kebanggaan Sabah kerana gunung tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 4,095 meter menawarkan pendakian dua hari yang menguji ketahanan dan memberikan pemandangan matahari terbit yang menakjubkan di atas awan.
Katanya, bagi mereka yang mencari cabaran tambahan, Via Ferrata menawarkan pengembaraan menegak yang mendebarkan dengan palang besi dan jambatan gantung di sepanjang permukaan granit.
“Selepas menawan Gunung Kinabalu, bolehlah merehatkan diri di Kundasang yang merupakan kawasan tanah tinggi yang dikenali sebagai “Little New Zealand” Sabah.
“Dikelilingi dengan bukit-bukau dan udara yang nyaman, ia adalah tempat yang selesa untuk berehat, sambil menikmati produk tenusu tempatan, dan menghayati pemandangan gunung.
“Untuk cabaran yang lebih lasak, Gunung Trus Madi iaitu puncak kedua tertinggi di Malaysia, menawarkan pengalaman yang lebih sukar melalui hutan berlumut serta denai-denai curam,” katanya.

Kredit foto Sabah Tourism Board/Emilie Crosasso.
Sabah Tourism berkata, Sungai Padas yang terletak berhampiran Tenom menawarkan cabaran deras jeram Gred III–IV yang popular dalam kalangan pengemar aktiviti lasak kerana kelajuan, limpahan airnya dan keseronokan yang luar biasa.
Kata beliau, Pulau Sipadan juga antara tapak selaman terbaik dunia yang menawarkan panorama bawah laut yang indah, dengan potensi melihat pusaran kumpulan barracuda, yu terumbu karang, penyu laut, serta pembentukan unik geologi tebing laut yang menjunam ke dalam lautan biru yang dalam.
Menurutnya, pulau-pulau berdekatan seperti Mabul dan Kapalai turut menawarkan pengalaman melihat hidupan marin yang berwarna-warni serta resort atas air yang menggabungkan keselesaan dengan pengembaraan.
“Bagi pengemar pengembaraan, hutan-hutan di Sabah menawarkan pengalaman meredah hutan yang paling memuaskan di Borneo di mana Lembangan Maliau yang sering digelar “Sabah’s Lost World” merupakan kawasan hutan hujan luas yang belum terusik, seakan-akan taman prasejarah.
“Antara pilihan lain ialah melawat Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, salah satu hutan hujan tertua di dunia.
“Sabah mempunyai banyak laluan perjalanan ‘road trip’ yang indah untuk mereka yang mahukan pengalaman lebih santai tetapi tetap memuaskan melalui daerah Tambunan, Keningau, dan Tenom, kawasan yang dipenuhi dengan jalan pergunungan berliku, air terjun, dan perkampungan yang indah,” katanya. – MalaysiaGazette















