majlis peguam
Anand Raj dipilih sebagai Presiden Majlis Peguam untuk penggal 2026/2027 menggantikan Mohamad Ezri Abdul Wahab.

KUALA LUMPUR – Peguam atau firma guaman yang didakwa bersekongkol dalam perbuatan rasuah urusan pembiayaan pinjaman bank baru-baru ini, berisiko dikenakan tindakan tata tertib.

Badan Peguam Malaysia dalam kenyataannya berkata, ia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan dengan mengemukakan aduan bagi mempertahankan maruah profesion guaman dan mengekalkan keyakinan awam terhadap pentadbiran keadilan.

Presidennya, Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, pihaknya mengambil maklum laporan media mengenai beberapa pegawai bank didakwa kerana menerima rasuah daripada firma guaman.

“Perkara ini amat serius kerana ia menjejaskan kepercayaan awam, bukan sahaja terhadap institusi kewangan tetapi juga terhadap integriti profesion guaman.

“Majlis Peguam Malaysia secara tegas mengutuk semua bentuk rasuah. Integriti dan kebebasan ialah tonggak penting profesion guaman dan apa-apa kelakuan yang menjejaskan nilai ini tidak boleh dimaafkan,” katanya dalan kenyataan menerusi laman Facebook.

Baru-baru ini, media melaporkan 10 pegawai dan bekas pegawai bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah daripada beberapa firma guaman sebagai balasan mencadangkan mereka sebagai penyedia dokumen pembiayaan perumahan.

Kes itu turut melibatkan individu yang didakwa gagal melapor pemberian rasuah.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kenyataan itu turut merakamkan penghargaan Majlis Peguam kepada agensi penguat kuasa kerana menangani perkara ini dengan tahap keseriusan yang sewajarnya.

“Tindakan tegas mereka menghantar mesej jelas bahawa rasuah tidak akan ditoleransi dan setiap pihak yang terlibat mesti bertanggungjawab.

“Kami akan terus bertindak tegas dan bertanggungjawab untuk menjunjung profesion guaman serta segala nilai yang didukungnya,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.