Menteri Digital yang juga Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 03 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang memperkukuhkan kerangka perundangan dan operasi bagi memastikan penggunaan kecerdasan buatan (AI), termasuk chatbot dan penjanaan video, tidak disalah guna serta tidak mendatangkan risiko kepada pengguna, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo hari ini.

Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Anak Gingkoi, Gobind memaklumkan satu Rang Undang-Undang Tadbir Urus AI sedang dibangunkan bagi memastikan risiko teknologi itu ditangani secara menyeluruh.

Menurutnya, rang undang-undang berasaskan penilaian risiko itu akan mewujudkan amalan tadbir urus bertanggungjawab merentas semua sektor.

“Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) turut merangka kertas cadangan Kerangka Kawal Selia AI merangkumi aspek kemudaratan AI, pelaporan insiden serta prinsip etika untuk dijadikan asas kepada RUU berkenaan.

“Selain itu, kerajaan turut memperkukuh peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Pindaan 2024), Akta Keselamatan Siber 2024 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2024.

“Kajian semula terhadap Akta Keterangan 1950 dan Akta Kontrak 1950 juga sedang dibuat bagi menyesuaikan perundangan dengan perkembangan teknologi AI,” katanya di Dewan Rakyat pagi ini.

Tambah beliau, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) pula sedang merangka Rang Undang-Undang Jenayah Siber yang bakal menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997, termasuk peruntukan berkaitan deepfake.

Jelasnya, kerajaan melalui CyberSecurity Malaysia sedang membangunkan teknologi pengesahan ketulenan gambar dan video dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia.

Aplikasi berasaskan AI itu dijangka membantu siasatan jenayah siber yang melibatkan manipulasi imej dan video.

Kata Gobind, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut bekerjasama dengan platform media sosial utama untuk mengesan dan menyekat kandungan deepfake yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja.

‘MCMC juga sedang meneliti keperluan mewajibkan pelabelan kandungan yang dijana AI, terutamanya video, bagi membantu pengguna mengenal pasti kandungan manipulatif atau mengelirukan.

“Kita turut menekankan program literasi AI dan keselamatan siber, termasuk penerapan konsep kepercayaan sifar serta kursus kesedaran melalui inisiatif seperti CyberSAFE, modul latihan dalam talian dan program outreach nasional di bawah NACSA.

“Dengan pendekatan menyeluruh, kerajaan berhasrat membina ekosistem AI yang inovatif namun selamat, di mana potensi teknologi dapat dimanfaatkan sepenuhnya sementara risiko penyalahgunaan dikawal rapi,” menurut kementerian itu.

Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI yang dilancarkan pada 2024 serta Garis Panduan Pengadaptasian AI Sektor Awam 2025 menjadi rujukan utama dalam memastikan teknologi AI digunakan secara bertanggungjawab dan mengekalkan kawalan manusia dalam proses kritikal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast