Bangunan Istana Kehakiman di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 45 tahun dan 24 sebatan ke atas seorang bekas penghantar barangan kerana melakukan sumbang mahram terhadap anak perempuan tirinya, empat tahun lalu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas menolak rayuan akhir lelaki berusia 34 tahun itu dan mengeluarkan perintah komital agar perayu menjalani hukuman berkuat kuasa serta merta.

Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid sebulat suara mengekalkan sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 14 April lalu.

Ketika menyampaikan keputusan itu, Hakim Mohamed Zaini berkata, kesalahan yang dilakukan perayu adalah menjijikkan.

“Mahkamah perlu memberi peringatan bukan sahaja kepada perayu, malah kepada masyarakat bahawa jenayah seksual terhadap kanak-kanak dipandang serius oleh mahkamah dan mewajarkan hukuman yang berat,” ujarnya.

Beliau berkata, mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan peguam perayu bahawa pertuduhan-pertuduhan dalam kes itu  cacat.

Mahkamah berpuas hati, pertuduhan tidak perlu mengandungi tarikh dan masa yang spesifik kerana ia bukan elemen penting untuk kesalahan dibuktikan.

“Memadai untuk tarikh dan masa dinyatakan secara umum seperti dalam kes ini,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini selanjutnya berkata, semasa kejadian mangsa berumur 11 tahun, seorang kanak-kanak yang masih memerlukan perlindungan ibu dan perayu walaupun perayu adalah bapa tiri mangsa.

“Apabila jenayah dilakukan ke atas mangsa oleh seorang yang menjadi tempat perlindungannya, adalah sukar untuk mangsa menzahirkannya kepada sesiapa pun.

“Kami berpuas hati dengan penjelasan mangsa mengenai kelewatannya mendedahkan perbuatan bapa tirinya,” ujarnya.

Oleh yang demikian, panel itu berpuas hati sabitan terhadap perayu adalah selamat untuk dikekalkan dan tiada sebab yang mewajarkan mahkamah mengusik dapatan hakim Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang mengesahkannya.

Lelaki itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas empat pertuduhan merogol mangsa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan.

Tertuduh juga didakwa atas satu lagi pertuduhan seksual  mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kuala Terengganu, antara awal Jun dan November 2021.

Pada 29 Februari 2024, lelaki itu didapati bersalah atas kesemua pertuduhan dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama hingga keempat serta penjara tujuh tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan kelima.

Bagaimanapun, lelaki itu hanya dipenjara 45 tahun dan 24 sebatan selepas mahkamah memerintahkan hukuman bagi pertuduhan pertama hingga ketiga berjalan secara berasingan (45 tahun) manakala pertuduhan keempat dan kelima iaitu tujuh tahun berjalan serentak.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya P. Sarulatha mewakili pendakwaan dan peguam Muhammad Wafi Anwar Roslan mewakili perayu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast