PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan menetapkan 11 Disember ini bagi mendengar permohonan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin untuk menyemak keputusan panel terdahulu yang membenarkan parti itu merayu pengurangan bon daripada RM10 juta kepada RM100,000.
Tarikh itu dimaklumkan kepada pihak media oleh peguam Navpreet Singh yang mewakili PKR pada sesi pengurusan kes hari ini.
Beliau turut memaklumkan, mahkamah menetapkan 13 Februari tahun depan bagi mendengar rayuan PKR terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengurangkan bon kepada RM100,000.
Dalam notis usul yang difailkannya pada 6 Oktober lalu, Zuraida memohon mengetepikan keputusan panel tersebut dan mahkamah mendengar semula permohonan kebenaran merayu PKR.
Permohonan itu dikemukakan berdasarkan Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
Pada 24 Jun lalu, panel tiga hakim diketuai oleh Tan Sri Nallini Pathmanathan membenarkan PKR merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 11 Disember 2024 yang mengurangkan jumlah bayaran daripada RM10 juta kepada RM100,000.

PKR dan bekas Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi pihak parti itu menyaman Zuraida bagi menuntut RM10 juta atas dakwaan melanggar syarat bon yang mengikat beliau kepada parti.
Pada 23 Jun 2023, Mahkamah Tinggi membuat keputusan memihak kepada PKR dan memerintahkan bekas Ahli Parlimen Ampang itu membayar RM10 juta kepada parti tersebut selepas mendapati bon itu merupakan satu kontrak yang sah dan mengikat.
Dalam terma dan syarat bon tersebut, antara lain, Zuraida dikehendaki membayar RM10 juta kepada PKR dalam tempoh tujuh hari sekiranya berlaku beberapa keadaan selepas memenangi pilihan raya atas tiket PKR, termasuk jika beliau meletak jawatan daripada parti, menyertai parti politik lain, atau menjadi wakil rakyat bebas.
Zuraida dalam pembelaannya mendakwa bahawa beliau dipaksa menandatangani bon tersebut dengan PKR untuk menjadi calon parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018. – MalaysiaGazette















