Perang bendera sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Kota Kinabalu, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 23 NOVEMBER 2025.

Oleh: Dr. Ahamad Jama’Amin Yang

PEMIKIRAN Han Feizi yang lahir pada era pergelutan dan peperangan klasik di China sering dianggap sebagai asas kepada teori helah kuasa yang realistik dan pragmatik. Walaupun gagasannya terbit daripada konteks sejarah dan budaya yang berbeza, banyak prinsip yang dirumuskan oleh Han Feizi masih berfungsi sebagai kerangka analisis yang berguna untuk memahami perilaku politik kontemporari.

Politik Sabah khususnya budaya pilihan raya yang bersifat cair dan berlapis memperlihatkan dinamika kuasa yang mendekati prinsip yang digariskan oleh pemikir
legalisme ini. Dalam hal ini, budaya politik Sabah memperlihatkan perkembangan unik yang dapat dihuraikan melalui konsep undang-undang yang tegas melalui idea fa taktik kekuasaan melalui konsep shu serta autoriti jawatan melalui konsep shi. Ketiga-tiga konsep ini dapat memetakan corak tindakan elit Sabah yang sering bergantung kepada strategi survival politik serta keupayaan membaca konteks kuasa yang sentiasa berubah.

Politik Sabah terkenal dengan sifat fragmentasi parti dan mobiliti elit yang tinggi. Analisis Arnold Puyok tentang politik Sabah menunjukkan bahawa sepanjang dekad 2010-an, khususnya sekitar 2012 hingga 2021, politik negeri itu dicirikan oleh kecenderungan lompat parti yang kerap dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri, sehingga menyumbang kepada landskap politik yang sangat cair dan tidak stabil. Fenomena ini seiring dengan dapatan Faisal Hazis yang menegaskan bahawa budaya politik Sabah tidak didorong oleh ideologi yang mampan tetapi oleh strategi pragmatik yang bertujuan mengekalkan akses kepada sumber.

Corak ini dapat dianalisis melalui konsep shu yang menekankan helah pemerintahan yang bergantung kepada pengurusan jaringan elit serta manipulasi peluang. Helah politik ini bukan semata-mata tindakan individu tetapi berakar daripada struktur politik negeri yang menuntut kecekapan dalam menilai perubahan sokongan berasaskan naungan politik dan rangkaian setempat.

Krisis politik yang berlaku pada 2020 yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Warisan adalah contoh jelas bagaimana shu berfungsi dalam budaya politik Sabah. Kejatuhan kerajaan tersebut berlaku bukan kerana perubahan ideologi tetapi akibat tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri yang menukar sokongan bagi membentuk gabungan baharu. Tindakan ini menunjukkan bagaimana helah kuasa digunakan untuk mengimbangi ancaman dan peluang yang muncul dalam gelanggang kuasa negeri.

Penilaian terhadap krisis tersebut memperlihatkan kelangsungan kuasa bergantung kepada kecekapan elit dalam memecah fraksi menilai risiko dan membina kesetiaan melalui tawaran politik yang bersifat material. Kecekapan ini ialah prinsip yang sangat dekat dengan pendekatan Han Feizi yang menolak moral idealis dan mengutamakan keberkesanan strategi.

Satu lagi dimensi penting dalam budaya politik Sabah ialah fungsi jaringan perlindungan kuasa yang beroperasi sebagai mekanisme tersirat dalam membentuk corak
pengundian, khususnya di kawasan luar bandar. Berasaskan dapatan tinjauan terkini, penulis berhujah bahawa kebergantungan pengundi kepada calon lebih kuat daripada kesetiaan kepada parti kerana pilihan mereka digerakkan oleh hubungan setempat, kewibawaan tokoh komuniti dan penilaian terhadap kemampuan calon menyelesaikan masalah harian. Keadaan ini bukan sahaja mengukuhkan politik berasaskan individu dan jaringan, tetapi juga mengekalkan struktur pergantungan yang menjadikan pengundi terus terikat dalam orbit perlindungan kuasa yang sedia ada.

Corak ini sejajar dengan konsep shi iaitu kekuatan jawatan serta wibawa kedudukan yang melebihi hujah moral atau visi politik. Dalam konteks ini, pengundi melihat kedudukan calon sebagai akses kepada sumber pembangunan termasuk peruntukan infrastruktur bantuan pertanian atau peluang pekerjaan setempat.

Oleh sebab itu, calon yang mempunyai hubungan dengan kerajaan Persekutuan atau kepimpinan pusat sering dianggap lebih berwibawa. Penulis berpendapat pengaruh konsep shi tercermin dalam kecenderungan pengundi Sabah menilai calon bukan atas dasar ideologi, tetapi atas kemampuan mereka menghasilkan pulangan politik yang konkrit dan segera kepada masyarakat setempat.

Politik naratif di Sabah juga memperlihatkan bagaimana maklumat digunakan untuk mempengaruhi persepsi pengundi. Han Feizi menekankan aklumat ialah asas
kepada kawalan politik. Sarjana politik seperti Bridget Welsh mendapati bahawa kempen pilihan raya di Sabah sering berpusat pada isu pembangunan setempat identiti etnik serta naratif ancaman luar. Naratif ini digunakan bukan semata-mata untuk memupuk kesedaran politik tetapi untuk mempengaruhi kebimbangan pengundi melalui strategi komunikasi yang tersusun.

Penggunaan isu projek segera semasa tempoh kempen misalnya berfungsi sebagai isyarat kuasa kepada pengundi bahawa calon yang memiliki akses kepada struktur pemerintah mempunyai potensi lebih besar untuk membawa projek pembangunan. Taktik ini memperlihatkan bagaimana kawalan persepsi melalui maklumat selektif menjadi alat penting dalam persaingan politik.

Selain itu, Sabah juga mempamerkan dimensi helah politik melalui mobilisasi identiti yang kompleks. Negeri ini mempunyai komposisi etnik yang pelbagai merangkumi Kadazan-Dusun, Murut, Bajau, Suluk, Bugis dan komuniti Cina. Walaupun persaingan identiti di Sabah jarang bersifat ekstrem, mobilisasi identiti sering digunakan dalam kempen bagi membina kohesi sokongan setempat.

Berpijak pada dapatan tinjauan Institut Darul Ehsan Research Centre (IDERC) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada awal November 2025, penulis berhujah sekitar 66.5 peratus pengundi Sabah masih membuat pilihan berdasarkan identiti etnik dan jaringan kekeluargaan, sekali gus menunjukkan pertimbangan komuniti setempat kekal sebagai faktor teras dalam tingkah laku pengundian.

Mobilisasi identiti ini bukan refleksi ideologi tetapi alat strategi untuk mencipta kesetiaan politik yang berasaskan jaringan sosial. Ini selari dengan premis Han Feizi yang menyatakan bahawa penguasa harus menggunakan faktor yang paling berkesan untuk memelihara kedudukan tanpa bergantung kepada moral atau prinsip abstrak.

Keseluruhannya budaya politik Sabah menunjukkan satu bentuk politik realistik yang mana kelangsungan kuasa bergantung kepada kecekapan mengurus struktur naungan politik, kawalan maklumat, manipulasi fraksi dan membaca konteks kuasa. Han Feizi menyediakan kerangka yang berguna untuk memahami dinamika ini kerana beliau melihat politik sebagai medan yang tidak stabil yang memerlukan strategi dan helah yang berasaskan analisis keadaan bukan idealisme moral.

Politik Sabah yang sentiasa berubah memperlihatkan bagaimana tiga konsep utama Han Feizi saling berjalin dalam membentuk ekosistem kuasa. Undang-undang berperanan sebagai kerangka rasmi, namun kelonggaran amalan politik membuka ruang kepada pelbagai helah seperti rundingan tertutup, janji pembangunan dan pertukaran sokongan. Dalam konteks ini, kuasa jawatan menjadi sumber utama legitimasi, manakala taktik pemerintahan dimanipulasi untuk mengekalkan kestabilan politik jangka pendek.

Huraian ini menunjukkan politik Sabah bukan sekadar fenomena lokal tetapi satu gambaran tentang bagaimana politik realistik beroperasi dalam persekitaran
sosial yang pelbagai dan kompleks. Dengan menggunakan lensa Han Feizi, analisis ini membuka ruang untuk memahami bahawa helah kuasa bukan semestinya penipuan tetapi sebahagian daripada strategi politik yang bertujuan mengurus ketidakpastian. Budaya politik Sabah menampilkan keupayaan elit untuk menyesuaikan diri serta mengatur strategi demi kelangsungan kuasa. Corak ini sejajar dengan logik Han Feizi yang menganggap politik sebagai bidang yang menuntut kewaspadaan, ketelitian dan kesediaan membaca konteks kuasa yang sentiasa berubah.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Sejarah, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah & Felo Bersekutu, Royal Historical Society, United Kingdom

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast