KUALA LUMPUR – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Negeri (PKON) di 14 negeri sebagai langkah siap siaga bagi menghadapi Ribut Tropika Senyar yang membawa hujan lebat, angin kencang serta risiko banjir kilat di beberapa negeri di Semenanjung.
Menurutnya, APM aktifkan 198 Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) dan Pusat Kawalan Operasi Unit (PKOU) bagi memastikan penyelarasan menyeluruh operasi pemantauan dan tindak balas kecemasan.
Katanya, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di semua negeri dan daerah turut dibuka bagi memperkukuh sistem penyelarasan antara agensi, terutama dalam menangani sebarang insiden berkaitan cuaca ekstrem.
“Seramai lebih 2,000 anggota APM turut dikerahkan membuat rondaan di kawasan berisiko tinggi, termasuk lokasi tumpuan risiko banjir kilat, tanah runtuh dan kenaikan aras air sungai.
“Pasukan tindak balas pantas ini dilengkapi peralatan penyelamatan air seperti bot, ambulan, dron pemantauan serta sistem komunikasi kecemasan untuk memastikan tindakan segera dapat dilaksanakan apabila diperlukan,” demikian menurut kenyataan itu.
Dari segi persediaan logistik, APM turut menempatkan aset seperti bot pelbagai jenis, trak angkut, kenderaan pacuan empat roda, generator dan pam air mudah alih di lokasi strategik sebagai langkah memastikan operasi bantuan tidak terganggu.
Tambahn, bagi kebajikan petugas barisan hadapan, APM menyediakan 30,300 pek makanan sedia dimakan (retort) bagi memastikan anggota dapat melaksanakan tugas dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya.
APM berkata, pada masa sama, sebanyak 88,701 unit khemah mudah alih bencana (C-Tent) turut disediakan untuk kegunaan mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) jika pemindahan penduduk diperlukan.
APM turut menyediakan 31,480 kit makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir, khususnya di kawasan yang berpotensi terputus akses jalan dan memerlukan bantuan segera.
Kataya lagi, APM juga bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi pengurusan bencana bagi memastikan operasi pemindahan, penyelamatan dan pengurusan PPS berjalan lancar sepanjang tempoh ribut tropika tersebut.
Sehubungan APM mengingatkan orang ramai untuk mengikuti perkembangan amaran cuaca rasmi, berpindah apabila diarahkan, mengelakkan aktiviti laut, menyediakan beg kecemasan dan tidak menyebarkan maklumat palsu dan menghubungi talian 999 sekiranya memerlukan bantuan segera dengan menegaskan komitmen untuk memastikan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. – MalaysiaGazette
















