KUANTAN – Bekas makanan menghidangkan Juadah Makmur di negeri ini menjadi tanda tanya kepada pihak pembangkang apabila ia memaparkan wajah Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi.
Ketua Penerangan Pas Indera Mahkota, Mohammad Ghauth Razali berkata, pihaknya menerima baik program edaran makanan percuma itu kepada rakyat dengan paparan wajah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini.
”Juadah Makmur yang memaparkan wajah Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy masih boleh diterima atas justifikasi beliau seorang pemimpin negeri berjawatan Menteri Besar di Pahang.
”Tetapi juadah yang satu ini menimbulkan persoalan, bukan mempersoalkan sedekah tetapi mengapa perlu menampal wajah Setiausaha Politik Perdana Menteri pada bekas makanan dan bagaimana ia boleh diedarkan di sekolah kepada para pelajar yang sedang menduduki SPM.
”Atas kapasiti apa perkara ini dibenarkan? Adakah hanya kerana beliau setpol PM. Kita faham bahawa pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini bakal menjadi pengundi tahun hadapan. Hal-hal sebegini sepatutnya lebih dijaga oleh seorang setpol,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau turut mempersoalkan apabila para pelajar sekolah turut menerima sumbangan dan membuat video ucapan terima kasih dengan menyebut nama Ahmad Farhan.
Bagaimanapun, katanya, Pas tidak membantah jika beliau atau partinya mahu menganjurkan program sendiri.
Namun menjadi isu bagaimana pasukan beliau dapat akses menawarkannya ke sekolah-sekolah dengan laluan mudah sehingga pihak sekolah menghantar pelajar secara rasmi ke program tersebut.
”Mungkinkah kewujudan perkataan PM di hujung jawatan dijadikan sebagai peluang untuk melancarkan urusan. Sembilan PM telah datang dan pergi namun setpol mereka tidak turun berkerja seperti ini di Parlimen Indera Mahkota atas nama setpol PM, bagaikan job scope tidak selari,” katanya.
Beliau sekali gus menempelak tindakan itu kerana katanya jika dilakukan pihak pembangkang pastinya terhalang dan menjadi isu besar. – MalaysiaGazette
















