KUALA LUMPUR – Hospital Sultan Ismail Johor Bahru (HSIJB) sedang mengesan waris kepada seorang mangsa kemalangan yang tidak sedarkan diri.
Hospital itu dalam satu kenyataan media memaklumkan, pesakit berkenaan merupakan seorang penunggang basikal yang telah dilanggar oleh sebuah kereta pada 27 November lalu di Jalan Tanjung Puteri 2, Tanjung Puteri Golf Resort, Pasir Gudang (laluan Jalan Tanjung Langsat menghala ke Pasir Gudang).
Katanya, pesakit yang tidak diketahui nama serta nombor kad pengenalannya itu sedang dirawat di Wad 06A, HSIJB masih koma dan memerlukan pemerhatian rapi.
Sehubungan itu, pihak hospital memohon kerjasama saudara mara atau mana-mana individu yang mengenali pesakit atau warisnya untuk memberikan maklumat dengan menghubungi Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Sultan Ismail Johor Bharu, Puan Noratikah Mohd Seri di talian 07-3565000 sambungan 2305. – MalaysiaGazette















