GEORGE TOWN – Penduduk Taman Bukit Jambul di Jalan Kampung Relau di sini menuntut keadilan dan campur tangan segera pihak berkuasa khususnya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berhubung pembinaan sebuah bangunan komersial bersebelahan kawasan mereka yang didakwa tidak mematuhi garis panduan pembangunan.
Rata-rata penduduk menyifatkan pembinaan deretan lapan unit kedai komersial itu menimbulkan risiko keselamatan dan menjejaskan ketenteraman mereka selain berlaku usaha menghubungkan jalan perumahan sedia ada kepada laluan komersial.
Penduduk turut mendakwa pelbagai aduan telah dibuat sejak 2022 namun sehingga kini tiada tindakan jelas, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai proses pemantauan dan pengesahan kelulusan projek tersebut.
Menurut seorang penduduk, Sofia Mohd Mohideen, 40, dia paling terkesan dengan pembinaan bangunan komersial itu kerana mereka rumahnya berkongsi dinding terus dengan bangunan berkenaan.
Jelasnya, lebih mengecewakan pelbagai aduan dibuat termasuk kerosakan pada rumahnya akibat pembinaan itu namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga projek berkenaan kini hampir siap sepenuhnya.

“Saya bukan pakar undang-undang tetapi semua orang tahu kawasan perumahan dan bangunan komersial sepatutnya ada jarak pemisah sekurang-kurangnya 20 kaki (enam meter).
“Pertikaian kami bukan pembinaan bangunan komersial itu namun kenapa ia dibina tanpa sebarang jarak pemisah dan dibenarkan MBPP tanpa sebarang tindakan meskipun aduan dibuat.
“Ada pihak meminta saya berdamai dengan pemaju, sedangkan saya hanya menuntut hak sebagai pemilik rumah serta rakyat di negeri ini, malah agensi kerajaan sepatutnya mematuhi undang-undang bukan bersikap lepas tangan dengan alasan projek berkenana telah siap,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Sementara itu, Muhammed Arafath A. Jamal Muhammed, 42, berkata, pihaknya bimbang keselamatan penduduk susulan lorong yang pada asalnya jalan mati kini akan dibuka sebagai laluan utama bagi projek komersial tersebut.

“Selama ini lorong rumah kami memang jalan mati tapi kini difahamkan pemaju mahu jadikan ia laluan keluar masuk utama. Kalau itu berlaku, trafik akan jadi sesak, lebih-lebih lagi orang ramai akan gunakan kawasan kami sebagai tempat parkir kerana berhampiran dengan kompleks beli-belah.
“Ini kawasan rumah, bukan jalan besar. Bila jadi laluan utama, kenderaan akan bawa laju… anak-anak balik sekolah pun bahaya. Kalau pelan asal lorong ini jalan mati, kenapa pemaju sekarang boleh dapat akses untuk buka laluan yang mengganggu keselamatan kami?” soalnya.
Turut berkongsi kebimbangan, Datuk Mohamad Naina Merican Abdul Kadir, 75, yang mendakwa pembukaan laluan belakang sebagai jalan utama awam bakal mengubah sepenuhnya suasana kawasan yang telah didiami kira-kira 100 penduduk hampir dua dekad.

“Aliran trafik sudah tentu akan meningkat dan itu membahayakan penghuni. Kami juga bimbang risiko kecurian, rompakan serta pelbagai masalah sosial jika laluan itu dibuka,” katanya.
Terdahulu, sekumpulan penduduk bersama wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta beberapa parti politik termasuk Pas, Gerakan dan Parti Rakyat Malaysia berkumpul mengadakan bantahan berhubung pembinaan bangunan tersebut.
Dalam bantahan itu, penduduk menuntut MBPP mengambil tindakan tegas termasuk mengeluarkan Perintah Henti Kerja (Stop-Work Order) bagi membolehkan siasatan penuh dilakukan terhadap pematuhan pelan pembangunan, syarat keselamatan dan zon pembangunan yang ditetapkan.
Menurut mereka, tuntutan berkenaan bertujuan sebagai satu gesaan agar integriti perancangan bandar, ketenteraman kawasan perumahan dan hak komuniti dipertahankan. – MalaysiaGazette
















