Pastor Raymond Koh Keng Joo

KUALA LUMPUR – Isteri Pastor Raymond Koh, Susanna Liew memfailkan permohonan agar firma guaman yang mewakilinya dalam saman terhadap kerajaan, dilantik sebagai pemegang amanah untuk menerima ganti rugi melebihi RM31 juta yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi, bulan lalu.

Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Su Tiang Joo pada 8 Disember ini.

Susanna dan suami atau nama sebenarnya Koh Keng Joo memohon ganti rugi didepositkan ke dalam akaun amanah yang dipegang oleh Tetuan Jerald Gomez & Associates yang menjana faedah sehingga keberadaan lelaki itu dikenalpasti atau didedahkan oleh kerajaan.

Dalam notis permohonan yang difailkan pada 28 November lalu, mereka turut mengemukakan dua cadangan lain iaitu PB Trustee Services Berhad atau Amanah Raya Berhad dilantik sebagai pemegang amanah.

Susanna dalam afidavit sokongan yang diikrarkan memaklumkan, melalui persetujuan anak-anaknya, Jonathan, Esther dan Elizabeth Koh, dia memohon mahkamah melantik firma guaman itu sebagai pemegang amanah untuk memegang akaun bagi menjana faedah yang diperoleh.

“Jika ini tidak diterima, secara alternatif saya memohon mahkamah melantik PB Trustee Services Berhad atau Amanah Raya Berhad untuk memegang akaun amanah itu,” ujar beliau dalam afidavit tersebut.

Menurut beliau, PB Trustee Services Berhad menetapkan terma-terma agar caj pentadbiran RM10,000 dibayar sekali gus dan caj tahunan sebanyak 0.35 peratus ke atas jumlah yang didepositkan.

Selain itu katanya, Amanah Raya Berhad memerlukan surat ikatan amanah ditandatangani dengan terma tambahan iaitu pemegang amanah berhak melaburkan harta amanah tersebut.

Pada prosiding pengurusan kes hari ini, peguam Datuk Jerald Gomez memberitahu, anak guamnya sudah melakukan yang terbaik untuk mencadangkan pemegang amanah dan memohon arahan pihak mana yang akan dilantik kelak.

Dalam pada itu, Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Farhana Khalid memaklumkan, pihaknya memerlukan masa untuk memfailkan afidavit jawapan terhadap notis permohonan yang baru diterima secara emal, semalam.

Ujar beliau, antara isu yang akan dibangkitkan termasuk persoalan undang-undang serta implikasi kewangan yang akan ditanggung jika ganti rugi itu didepositkan ke dalam akaun pemegang amanah.

Pada 5 November lalu, Hakim Tiang Joo memerintahkan
kerajaan dan polis membayar ganti rugi kepada keluarga Raymond kerana terlibat dalam penculikannya, lapan tahun lalu.

Beliau mengarahkan kerajaan membayar RM10,000 sehari bermula kehilangannya pada 13 Februari 2017 hingga polis mendedahkan keberadaannya.

Raymond diculik ketika sedang memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya. Sehingga hari ini, beliau hilang selama 3,215 hari.

Mahkamah memutuskan satu atau lebih defendan yang terdiri daripada pegawai polis berkhidmat dan bekas pegawai, terlibat dalam penculikan Raymond dan bertindak mengikut ‘satu arahan’.

Beliau turut memerintahkan polis membuka semula siasatan kes dan melaporkan kemajuannya kepada Peguam Negara setiap dua bulan.

Semasa perbicaraan, mahkamah diberitahu lima lelaki bertopeng dengan pakaian seragam tentera berwarna hitam menarik Raymond keluar dari keretanya.

Isterinya memfailkan saman terhadap kerajaan dan polis kerana terlibat atas kehilangan suaminya serta cara pihak berkuasa menyiasat kes itu.

Pada 2019, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) memutuskan Raymond dan seorang aktivis, Amri Che Mat merupakan mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh anggota Cawangan Khas Bukit Aman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.