KUALA LUMPUR – Malaysia muncul sebagai salah satu daripada tiga destinasi paling menjimatkan bagi perjalanan akhir tahun.
Menurut data Agoda yang dikumpul daripada tempahan penerbangan antara 1 September hingga 19 November 2025 (untuk pelepasan 20–31 Disember), Malaysia muncul sebagai salah satu pasaran penerbangan domestik yang paling mampu milik.
Tambang di pasaran ini bermula serendah RM37 bagi laluan Bario ke Miri, malah menjadi pilihan ideal bagi mereka yang inginkan percutian berteraskan budaya dan alam semula jadi kerana ia menawarkan pintu masuk unik ke kawasan tanah tinggi Sarawak, sawah padi yang indah, serta komuniti rumah panjang tradisional.
Korea Selatan turut berkongsi kedudukan kedua bersama Malaysia, dengan laluan Jeju–Seoul yang menawarkan percutian mesra bajet ke pantai indah di pulau dan juga ibu kota yang meriah tersebut.
Di tangga teratas ialah Thailand, dengan laluan Udon Thani–Bangkok bermula serendah RM25.
Agoda berkata, bagi segmen perjalanan antarabangsa pula, Malaysia dan Indonesia menawarkan tambang yang paling mesra bajet. Penerbangan bagi laluan Johor Bahru ke Phuket dan Pontianak ke Kuching bermula serendah RM103.
Laluan-laluan ini menyediakan peluang percutian yang menarik ke pulau-pulau tropika dan kawasan alam semula jadi yang menghijau sepanjang musim cuti akhir tahun.
Thailand menduduki tempat kedua dengan penerbangan Krabi ke Kuala Lumpur yang boleh ditempah pada harga RM115.
Senarai ini dilengkapkan dengan Korea Selatan (RM132), Jepun (RM161), Taiwan (RM46), Vietnam (RM190) dan India (RM301).
Fabian Teja, Pengarah Negara Malaysia dan Brunei Agoda berkata, dengan rangkaian penerbangan yang luas serta pelbagai pilihan perjalanan mesra bajet, Agoda berusaha membantu para pelancong mendapatkan tawaran terbaik agar percutian mereka bukan sahaja berpatutan, malah mencipta kenangan yang sukar untuk dilupakan.
Dengan lebih 130,000 laluan penerbangan, lebih 6 juta pilihan penginapan percutian dan lebih 300,000 aktiviti liburan, Agoda membolehkan pelancong untuk menggabungkan semua tempahan mereka dalam satu platform yang mudah bagi pengalaman percutian yang lebih lancar. – MalaysiaGazette















