KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) mendedahkan seramai 12 rakyat Malaysia yang melarikan diri daripada pusat sindiket penipuan di Sunda, Myanmar kini sudah lebih 10 hari terperangkap di tebing Sungai Moi berhampiran sempadan Mae Sot, Thailand.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya dimaklumkan semua mangsa ketika ini berada dalam keadaan kritikal selepas dihalau keluar ekoran pertempuran antara kumpulan bersenjata di kawasan berkenaan.
Mereka kini terpaksa berlindung di kawasan terbuka tanpa sebarang kemudahan asas dengan suhu sejuk sekitar 13 hingga 17 darjah Celsius serta ketiadaan makanan mencukupi menyebabkan kumpulan itu tidak berdaya untuk bertahan lebih lama.
“Mangsa berkali-kali cuba menyeberangi sungai untuk memasuki Thailand bagi mendapatkan perlindungan namun setiap cubaan dihalang tentera negara itu yang turut melepaskan beberapa das tembakan amaran.
“Mereka duduk tepi sungai, tiada bangunan, tiada khemah. Setiap kali cuba masuk Thailand, tentera tahan, halang, ada yang ditendang masuk sungai,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, keadaan menjadi lebih berbahaya apabila mangsa turut terdedah kepada tembakan dan letupan dari arah kawasan konflik berhampiran yang masih belum reda.
Difahamkan, terdapat 33 rakyat Malaysia di lokasi sama namun 12 daripada mereka sudah memohon bantuan MHO lebih awal dan maklumat mengenai mereka telah diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand melalui Ratchamanu Task Force.
“Mereka mangsa pemerdagangan manusia bukan penjenayah. Tetapi kenapa masih tidak dibantu? Ini isu kemanusiaan, bukan isu politik, kita mohon sangat kerajaan bantu kita pada saat ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, bapa mentua salah seorang mangsa, Eyu Yok Lin turut merayu kerajaan bertindak segera, memaklumkan menantunya kini kehabisan tenaga selepas lebih 10 hari bertahan tanpa perlindungan dan makanan mencukupi.
Katanya, menantunya yang dibawa ke Myanmar lebih setahun lalu sebelum dikurung sindiket kini berdepan ancaman baharu apabila terperangkap di tebing sungai sambil terdedah bunyi tembakan dan bom dari kawasan berhampiran.
Difahamkan, MHO juga telah menghantar surat rasmi kepada Kedutaan Malaysia di Thailand memohon tindakan segera membawa pulang kesemua mangsa serta meminta kedutaan mengemukakan permohonan rasmi kepada Ratchamanu Task Force bagi memudahkan operasi menyelamat.
Menurut Hishamuddin, kelewatan boleh mengundang tragedi dan kerajaan perlu bertindak segera sebelum keselamatan mangsa terjejas lebih teruk. – MalaysiaGazette
















