KUALA LUMPUR — Ketua Wanita MIC Kebangsaan, N Saraswati tampil menggesa siasatan penuh, bebas dan telus berhubung insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka yang meragut nyawa tiga lelaki berbangsa India pada 24 November lalu.
Beliau berkata, tragedi itu bukan sahaja membawa implikasi besar kepada keluarga mangsa malah menimbulkan kegusaran masyarakat terhadap profesionalisme dan integriti institusi penguatkuasaan.
Menurutnya, kematian tiga anak muda itu dalam keadaan yang menimbulkan banyak persoalan menuntut penelitian segera dan bertanggungjawab daripada pihak berkuasa.
“Siasatan yang berjalan mesti bebas sepenuhnya tanpa sebarang bentuk perlindungan atau campur tangan. Rakyat perlu diyakinkan bahawa proses ini tidak dipengaruhi kepentingan mana-mana pihak,” tegasnya dalam kenyataan malam ini.
Saraswati yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah berkata, semua bukti termasuk rakaman audio atau video, keterangan saksi, laporan forensik serta dokumen berkaitan mesti diperiksa dengan integriti tertinggi bagi memastikan setiap keputusan berdasarkan fakta yang sahih.
Katanya, masyarakat kini keliru berikutan pelbagai versi kejadian yang dilaporkan sekali gus menjejaskan keyakinan terhadap sistem keadilan serta mencetuskan kebimbangan dalam komuniti India Malaysia.
“Hanya laporan siasatan yang jelas dan menyeluruh dapat menghentikan spekulasi serta memulihkan kepercayaan rakyat. Ketelusan bukan pilihan, ia kewajipan,” ujarnya.
Saraswati turut menegaskan keluarga mangsa berhak mengetahui apa yang berlaku dan berhak melihat mana-mana pihak yang bersalah dibawa ke muka pengadilan.
“Tiada sesiapa berada di atas undang-undang. Jika wujud elemen salah laku, kecuaian atau penyalahgunaan kuasa, tindakan tegas mesti segera diambil.
“Kita seru pihak berkuasa bertindak profesional, telus dan adil dalam menangani kes ini kerana masyarakat sedang memerhati dan menunggu penjelasan.
“Demi keadilan kepada mangsa, keluarga mereka dan seluruh masyarakat, kebenaran mesti didedahkan dan tindakan tidak boleh dilengahkan,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















