KLUANG – Pengusaha Golden Durian Valey di Kampung Keluarga Bahagia, Simpang Renggam di sini boleh menarik nafas lega apabila usahanya selama ini akan membuahkan hasil pertamanya pada pertengahan tahun depan.
Shamsul Khan Ahmad Khan, 59, berkata, ini kerana Golden Durian Valey dengan keluasan 2.4 hektar dijangka menjadi tempat tarikan pengunjung sebagai agro pelancongan yang mempunyai 120 batang pokok daripada kumpulan Raja Kunyit seperti Musang King, IOI dan Duri Hitam.
Bagi merealisasikannya sebagai agro pelancongan, pihaknya turut menyediakan dua buah pondok sebagai tempat penginapan bagi memberikan pengalaman untuk merasai berada dalam kebun durian.
“Bagaimana pun, saya masih belum memikirkan kaedah yang sesuai bagi menarik kedatangan orang ramai ke kebun durian ini terutama mereka yang menginap semalaman di pondok disediakan itu.
“Namun yakin ada keistimewaan akan diberikan kepada mereka yang datang menginap di sini terutama ketika musim buahnya mula luruh nanti,” katanya.
Shamsul Khan yang juga Pengerusi Kelab Classic Legend berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Komuniti Mercedes Benz Negeri Sembilan diketuai Presidennya, Wan Su Wan Hassan.
Menurutnya lagi, kunjungan daripada pemilik Kereta-kereta kelasik Mercedes Benz dari tahun 1970 itu adalah sebagai satu usaha pihaknya untuk memperkenal Golden Durian Valey kepada orang ramai walaupun tanaman yang diusahakan masih belum mengeluarkan hasil.
“Saya juga sudah berurusan dengan Tourism Johor serta Pelancongan Malaysia sebagai usaha menjadikan kebun durian ini menjadi salah satu tempat tarikan pelancong khususnya dari luar daerah dan negeri Johor selaras Tahun Melawat Johor 2026 menjadi kenyataan.
“Untuk tujuan itu, 15 buah pondok tambahan akan dibina dalam masa terdekat bagi membolehkan lebih ramai pengunjung dapat menunggu durian gugur apabila bermalam di sini nanti,” katanya.- MalaysiaGazette















