KUALA LUMPUR – Syarikat Coachliner 707 Travel & Tours Sdn. Bhd. didenda sebanyak RM50,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal menggunakan khidmat pemandu pelancong berlesen ketika mengendalikan aktiviti pelancongan dalam negeri.
Hukuman itu dijatuhi pada 1 Disember lalu di Mahkamah Majistret Selayang.
Majistret Chai Guan Hock telah mensabitkan syarikat tersebut atas kesalahan di bawah Peraturan 6(1)(i)(iii) dibaca bersama Peraturan 6(2) Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) 1992 [P.U.(A) 333/1992].
Sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut, syarikat boleh dikenakan hukuman penjara selama dua tahun.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menegaskan kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] dan peraturan-peraturan di bawahnya merupakan kesalahan jenayah yang serius.
Jelasnya, MOTAC akan terus melaksanakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya melibatkan kegagalan menggunakan khidmat pemandu pelancong berlesen yang boleh menjejaskan imej dan keselamatan industri pelancongan negara. – MalaysiaGazette















