Haqimi Azim. Foto FB FAM.
KUALA LUMPUR – Penyerang skuad B-23 negara, Haqimi Azim Rosli terpaksa melupakan aksi menentang Vietnam apabila bergegas pulang ke tanah air selepas bapa tirinya, Shahrol Asikin Shariff meninggal dunia disebabkan serangan angin ahmar hari ini.
Perkara itu dimaklumkannya dalam kiriman media sosial pemain Kuala Lumpur City itu.
“Saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa papa saya telah meninggal dunia pagi tadi. Pemergiannya sangat mengejutkan dan berat untuk kami sekeluarga terima tetapi kami reda dengan ketentuan Allah.
“Saya mohon jasa baik semua untuk mendoakan arwah papa, semoga Allah mengampunkan dosanya, menerima segala amalnya, dan memberikan tempat yang indah buatnya di sisi-Nya.
“Doakan juga agar kami sekeluarga diberi ketabahan dan kekuatan melalui saat sukar ini. Terima kasih atas doa dan sokongan semua,” tulisnya.
Dalam satu kiriman lain, Haqimi, 22, turut meluahkan kesedihannya dan berharap sempat melihat jenazah bapa tirinya itu.
“Qimi tak kuat macam ni Pa, tunggu Qimi balik Pa, Qimi nak jumpa Papa” tulisnya yang dilaporkan dalam perjalanan pulang ke tanah air bagi urusan pengebumian bapa tirinya.
Malaysia, dalam pada itu akan berdepan Vietnam bagi aksi terakhir peringkat Kumpulan B di Stadium Rajamangala, Bangkok pada petang Khamis ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast