Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim

PUTRAJAYA – Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim dilantik sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia yang baharu berkuat kuasa 8 Disember lalu.

Dalam kenyataan Tourism Malaysia, pelantikan itu dibuat oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing selaras dengan peruntukan Seksyen 10(1) Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992.

Beliau menggantikan Datuk Manoharan Periasamy yang bersara wajib pada 6 Disember lepas.

Mohd Amirul berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Pelancongan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) memulakan kerjayanya di Tourism Malaysia pada 2 September 2002 dan sejak itu memegang pelbagai portfolio penting dalam pemasaran serta promosi pelancongan negara.

Sepanjang lebih dua dekad berkhidmat, beliau pernah berperanan di Bahagian Penyelidikan seterusnya mengetuai Pejabat Negeri Tourism Malaysia Terengganu selain pernah mengetuai Pejabat Luar Negara Tourism Malaysia di Seoul, Korea Selatan pada 2008.

Beliau juga pernah berkhidmat di Bahagian Promosi Domestik dan Acara; Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia & Afrika) serta memegang peranan sebagai Pengarah Kanan Bahagian Pengiklanan dan Digital selain turut mengetuai Sekretariat Visit Malaysia 2026 (VM2026).

Selain tugas rasmi, beliau juga aktif dalam persatuan dan kini merupakan Presiden Kelab Rekreasi Tourism Malaysia.

Dengan pengalaman 23 tahun dalam pelbagai aspek pemasaran dan promosi pelancongan, pelantikan Mohd Amirul diyakini mampu memperkukuh pembangunan industri pelancongan negara menjelang Visit Malaysia 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast